BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mahu pelabur asing yang melabur di negara ini mengambil kesempatan hingga merugikan kerajaan termasuk melalui pemerahan sumber secara maksimum.
Timbalan Perdana Menteri berkata pengalaman lalu membuktikan wujud pelaburan yang hanya mengutamakan kepentingan pelabur semata-mata hingga mengabaikan matlamat sudah dipersetujui bersama.
“Saya tidak mahu tanah diperolehi di Bagan Datuk dan (melalui) kerajaan negeri Perak tetapi digunakan untuk mencagar tanah itu bagi mendapat pinjaman dan selepas itu (pelabur) ‘cabut’ (tinggal).
“Saya tidak mahu itu berlaku. Sebab kita sudah banyak kali tertipu. Tentunya kita mahu bahawa pelabur-pelabur asing tidak melakukan pemerahan sebagaimana pernah dilakukan oleh pelabur-pelabur asing yang masuk ke negeri kita dan negara ini.
“Kita tengok dan kita lihat berapa banyak kolam-kolam lombong yang tertinggal kerana pemunggahan hasil negara ke negara asal mereka,” katanya ketika merasmikan Majlis Pra-Pelancaran Projek Bagan Datuk International Fishery Industrial Park (BDIFIP) di Dewan Dato’ Lope Hashim, di sini hari ini.
BDIFIP dengan nilai pelaburan RM2 bilion adalah projek pelaburan berimpak tinggi yang dibangunkan di tanah milik Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) seluas 127.8 hektar di wilayah Baroh, di sini.
Ia akan melalui pembangunan berperingkat selama enam tahun bermula 2027 hingga 2033.
Projek itu akan merealisasikan sebuah taman perindustrian berpagar dan terurus yang mampu menarik pelabur antarabangsa dari negara maju seperti China, Korea Selatan, Australia, dan negara di Asia Tenggara.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, kerjasama pintar mesti dicapai membabitkan syarikat berkaitan kerajaan selaku rakan kongsi bagi sesebuah pelaburan agar tidak dipergunakan oleh mana-mana pihak bagi sesuatu kepentingan.
“Memang kita mahu menggalakkan pelaburan asing tetapi cukuplah dengan kaedah atau metodologi pelaburan asing yang berlaku dahulu.
“Kita mahu menjadi rakan kongsi yang bijaksana. Jangan digunakan oleh mana-mana pihak. Kita perlu lebih berhati-hati dalam perkara ini.
“Cukuplah dengan pengalaman yang lampau, kita mahu BDIFIP ini benar-benar akan berjaya. Ini bukan ucapan amaran tetapi saya mahu memantau dengan sepenuhnya sebab kita sudah banyak kali tertipu dan kita tidak mahu keadaan itu berlaku lagi,” katanya.
Ahmad Zahid berkata peraturan untuk pelaburan asing sudah ditetapkan bahawa tiada sumber alam dipunggah untuk dieksport secara mentah sebaliknya perlu diproses dahulu dalam negara agar ianya memberi keberhasilan tinggi kepada negara.
“Saya diberitahu bahawa dua syarikat pelabur di BDIFIP cuba untuk mendapatkan lesen nelayan laut dalam. Saya sebagai wakil rakyat di sini ingin menyeru agar jangan benarkan lesen ini diberikan kepada mereka, sebaliknya biar mereka mempunyai lesen untuk memproses sahaja.
“Lesen untuk memunggah kekayaan khazanah laut dalam itu mesti diberikan kepada rakyat tempatan terutamanya rakyat Perak. Kalau pun Jabatan Perikanan tidak dapat memberikan lesen berkenaan kepada individu mungkin kerana kedudukan kewangan yang agak lemah, sila berikan lesen itu kepada MB Inc,” katanya.-BH Online