Pontian: Kerja naik taraf dua jambatan utama di pusat bandar ini dengan peruntukan RM72 juta dijangka menyelesaikan isu kesesakan serius yang sering dihadapi pengguna laluan berkenaan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata kerja naik taraf Jambatan Pontian Kechil dan Jambatan Pontian Besar daripada dua kepada empat lorong, penting berikutan kedua-dua jambatan berkenaan mempunyai laluan sempit.
Katanya, dua jambatan utama yang sempit di pusat bandar Pontian berkenaan menyebabkan kesesakan teruk berlaku setiap kali musim perayaan dan cuti persekolahan.
“Oleh itu, Kementerian Kerja Raya memperuntukkan RM72 juta bagi kerja naik taraf berkenaan membabitkan Jambatan Pontian Kechil dengan kos RM23 juta manakala Jambatan Pontian Besar pula diperuntukkan RM49 juta.
“Kerja naik taraf Jambatan Pontian Kechil sedang giat dilakukan sejak tahun lalu dan dijangka selesai menjelang September ini.
“Manakala kerja naik taraf Jambatan Pontian Besar akan dimulakan dalam masa terdekat dan majlis pecah tanah dijangka disempurnakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita Bahagian Pontian, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, penduduk Pontian lega susulan kerja naik taraf dua jambatan utama berkenaan akan melancarkan laluan di pusat bandar berkenaan yang sebelum ini sempit dan sering sesak.
null
Suri rumah, Nor Azura Mohd Amin, 40, berkata ia berikutan jumlah kenderaan yang melalui pusat bandar sangat tinggi hampir sepanjang masa terutama pada
cuti perayaan dan hujung minggu.
“Saya memang pengguna laluan ini setiap hari untuk membeli barang keperluan selain menghantar anak ke sekolah dan hampir setiap hari perlu tempuh kesesakan pada waktu puncak.
“Itu belum lagi ketika musim cuti perayaan dan hujung minggu, kesesakan akan berkali ganda susulan laluan jambatan mengecil.
“Alhamdulillah, kerja naik taraf dua jambatan utama kepada empat lorong akan mengakhiri mimpi ngeri penduduk yang terpaksa berhadapan isu kesesakan sekian lama,” katanya.-MyMetro Online