Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BAGAN DATUK, 14 Jun– Lebih 5,500 peluang pekerjaan bakal diwujudkan untuk komuniti tempatan melalui pembangunan Bagan Datuk International Fishery Industrial Park (BDIFIP), bernilai RM2 bilion.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu rakyat tempatan diberi keutamaan dalam pengambilan pekerja bagi projek industri perikanan tersebut.

“Kedua-dua syarikat ini cuba untuk mendapatkan lesen nelayan laut dalam. Saya menyeru diri saya sebagai wakil rakyat kawasan ini, jangan lesen ini diberikan kepada mereka. Biar mereka mempunyai lesen memproses sahaja. Manakala lesen untuk memungut kekayaan laut dalam itu mesti diberikan kepada rakyat,” katanya selepas merasmikan prapelancaran BDIFIP di Dewan Dato’ Lope Hashim, Bagan Datuk.

Projek berimpak tinggi itu dibangunkan di tanah seluas 316 ekar milik Menteri Besar Incorporated (Perak), secara berfasa bermula tahun 2027 hingga 2033.

Katanya, BDIFIP bukan sahaja membuka peluang pekerjaan langsung, malah menjana limpahan ekonomi melalui sektor hiliran, logistik, perkhidmatan serta peningkatan nilai hartanah.

Beliau turut menggesa kerajaan negeri memastikan pelaksanaan projek berjalan mengikut jadual serta menyediakan latihan kemahiran kepada penduduk setempat.

Projek itu dijangka menjadi pemangkin utama transformasi sosioekonomi daerah Bagan Datuk sekaligus memperkukuh sekuriti makanan negara.-Berita RTM