MELAKA: Kerajaan negeri perlu memberi keutamaan kepada bidang kritikal yang berupaya menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk pembangunan negara secara menyeluruh, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menjelaskan, antara yang perlu diberi tumpuan menerusi projek bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) ialah berkaitan industri elektrik dan elektronik.
“Sering kali saya mengingatkan pada mesyuarat khas pembangunan yang diadakan di negeri-negeri, setakat ini, bahawa keutamaan yang disenaraikan di agensi pusat, Kementerian Ekonomi atau peringkat negeri perlu diselaras untuk difokuskan kepada keperluan sebenar rakyat.
“Pimpinan pada peringkat negeri dan daerah juga perlu memahami fokus peringkat kementerian kerana tuntutan yang diangkat kepada Kerajaan Persekutuan melangkaui keupayaan ekonomi lantaran kekangan dan sumber yang terhad perlu difahami,” katanya dalam satu kenyataan selepas menghadiri Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Melaka, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai mesyuarat khas itu pula, Anwar memaklumkan bahawa Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, telah membentangkan permohonan ‘wish list’ daripada kerajaan negeri pada mesyuarat berkenaan.
Katanya, permohonan itu termasuk infrastruktur jalan raya, projek tebatan banjir, pembinaan semula dan pembinaan baharu sekolah, pembinaan blok tambahan dan wad-wad di Hospital Jasin, projek perumahan rakyat serta menaik taraf muzium bagi sektor pelancongan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengingatkan penjawat awam supaya ‘step up’ serta ‘speed up’ (bergerak lebih pantas dan berkesan) bagi memastikan pelaksanaan projek untuk rakyat lebih efektif dan tidak tertangguh sehingga membebankan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan.
Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri hari ini adalah mesyuarat terakhir diadakan di negeri-negeri sebelum Kerajaan Persekutuan melengkapkan usul-usul permohonan peruntukan projek RMK13 yang akan diperhalusi bagi pengumuman Belanjawan 2026 pada Oktober depan.-BH Online