KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan perasaan dukacita mendalam susulan tragedi pesawat Air India Penerbangan 171 terhempas berhampiran Ahmedabad, India, hari ini.
Perdana Menteri dalam hantaran melalui Facebook berkata, bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, beliau merakamkan ucapan takziah yang tulus ikhlas kepada keluarga serta insan tersayang mangsa terbabit.
“Saya amat dukacita apabila menerima berita mengenai nahas tragis pesawat Air India Penerbangan 171 yang terhempas berhampiran Ahmedabad.
“Kami turut bersedih atas kehilangan yang dialami oleh India, dan menyatakan solidariti penuh ketika usaha bantuan sedang dijalankan.
“Doa dan ingatan kami sentiasa bersama mangsa serta semua yang sedang meratapi kehilangan ini,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan sebuah pesawat Air India yang membawa 242 penumpang serta kru menuju ke London, terhempas sejurus setelah berlepas dari bandar Ahmedabad, hari ini, menurut syarikat penerbangan itu dan polis.
Menteri Kesihatan Persekutuan India berkata, ‘ramai orang’ terkorban dalam tragedi itu.
Anggota operasi mencari dan penyelamat (SAR) pula memaklumkan, sekurang-kurang 30 mayat sudah ditemui dalam sebuah bangunan di lokasi pesawat itu terhempas, manakala ramai lagi mangsa masih terperangkap.
“Pesawat itu terhempas ke atas sebuah bangunan asrama doktor,” kata seorang pegawai kanan polis kepada pemberita.
Air India memaklumkan bahawa pesawat itu menuju ke Lapangan Terbang Gatwick di United Kingdom, manakala pihak polis memberitahu ia terhempas di sebuah kawasan awam berhampiran lapangan terbang.-BH Online