PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) giat merangka pelbagai strategi jangka pendek dan panjang bagi memastikan bekalan makanan negara kekal stabil dan mencukupi dalam berdepan perubahan cuaca yang tidak menentu.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata perubahan iklim yang tidak dapat dijangka menuntut kementeriannya untuk terus meneroka pendekatan baharu dalam menjamin keterjaminan makanan negara.
“Perubahan cuaca ini memang sentiasa berlaku sekarang. Sebab itu, kita di kementerian memikirkan pelbagai cara supaya bekalan makanan tidak terjejas.
“Kita tak boleh lagi bergantung kepada satu kawasan atau satu sumber sahaja,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) di sini, hari ini.
Mohamad berkata, antara langkah itu adalah memberi tumpuan kepada potensi negeri seperti Sabah dan Sarawak sebagai kawasan tambahan untuk pengeluaran makanan utama negara.
Katanya, ia termasuk penanaman padi beras dengan mengambil kira perbezaan zon cuaca dan risiko bencana berbanding Semenanjung.
“Kalau di Semenanjung, contohnya banjir besar sering berlaku di Pantai Timur tapi di Pantai Barat, keadaannya mungkin berbeza.
“Begitu juga utara dan selatan, yang masing-masing ada cabaran tersendiri. Maka kita perlu sesuaikan jenis tanaman dan waktu tuaian mengikut keadaan setempat,” katanya.
Mohamad berkata, kementerian juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Meteorologi dan agensi berkaitan untuk menyusun semula jadual tanaman serta langkah kawalan serangan penyakit, khususnya terhadap ternakan.
“Tahun ini, alhamdulillah, ternakan ayam dan telur tidak hadapi sebarang ancaman besar,” katanya.
Mohamad berkata pemantauan berkala dan kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan menjadi keutamaan kementerian bagi memastikan sektor pertanian negara kekal mampan dan tidak terkesan secara drastik oleh perubahan iklim.
“Langkah-langkah ini kita pantau dari semasa ke semasa. Dengan kerjasama semua pihak, termasuk nasihat pakar dan agensi teknikal, kita yakin dapat terus lindungi sumber makanan negara,” katanya.
Mengenai Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan, Mohamad berkata, sambutan diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, pada 1 hingga 3 Ogos ini dan bakal dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
“Pada tahun ini, sambutan HPPNK diraikan dengan lebih istimewa bersempena ulang tahun jubli emas yang menandakan 50 tahun penganjurannya sejak mula diperkenalkan pada tahun 1975.
“Terdapat 18 segmen dalam empat (4) fokus utama dalam sambutan HPPNK edisi kali ini iaitu Agro Millenia, Cukup dan Terjamin, Sejahtera MADANI dan Jualan dan Keusahwanan,” katanya.-BH Online