Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

AYER KEROH: Kerajaan menanggung sepenuhnya kos perbelanjaan Tun Dr Mahathir Mohamad ke Forum Antarabangsa Nikkei edisi ke-30 di Jepun akhir bulan lalu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, walaupun bekas Perdana Menteri itu kerap menyerang kerajaan MADANI, namun beliau mengambil sikap terbuka tanpa ada sebarang bersikap negatif.

“Setiap permohonan perbelanjaan ke luar negara oleh bekas-bekas Perdana Menteri ada peraturan tertentu, yang penting diluluskan oleh Perdana Menteri.

“Baru-baru ini dia (Mahathir) ada mohon nak pergi ke Persidangan Nikkei di Jepun, jadi dia mohon daripada saya, saya luluskan.

“Walaupun saya ingat (permohonan untuk) sembilan orang (delegasi bersama Dr Mahathir), saya luluskan untuk tujuh orang (sahaja) dengan belanja sekitar RM486,000,” katanya selepas menutup Seminar Pemantapan Organisasi PKR di Hotel Ames, di sini hari ini.

Anwar berkata, ada yang mempersoalkan pembayaran itu, namun semua bekas Perdana Menteri mempunyai hak untuk memohon (pembiayaan), tetapi terserah kepadanya selaku Perdana Menteri semasa untuk meluluskannya.

“Saya tidak mahu ada salah faham, sebenarnya ada peraturan yang membolehkan (pembiayaan itu) dengan syarat diluluskan Perdana Menteri. 

“Saya tidak mahu ambil sikap yang negatif walaupun hari-hari (Mahathir) serang kita, kita masih luluskan,” katanya.

Pada hujung bulan lalu, Dr Mahathir ke Jepun untuk menghadiri dan menyampaikan ucaptama pada Forum Antarabangsa Nikkei edisi ke-30.

Sementara itu, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, beliau belum ‘terbuka hati’ untuk meluluskan permohonan peletakan jawatan dua menteri dari parti itu, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Katanya, beliau masih mempertimbangkan serta memberi ruang kepada kedua-dua menteri berkenaan untuk berfikir semula permohonan mereka itu.

“Belum lagi, (mereka) belum tamat tempoh cuti, biar saya fikir, biar mereka fikir. Saya pilih kalau boleh, kita serta (bersama) semula, tapi kalau tidak, biarlah bagi ruang untuk berfikir dalam keadaan tenang.

“Cuti saya dah luluskan, mereka masih dalam cuti. Saya belum terima peletakkan jawatan mereka, surat dah terima, tapi saya belum luluskan peletakan jawatan mereka.

“Kalau katanya mereka dah letak (jawatan), tapi ramai yang juga mahu mengajak mereka bersama semula,” katanya.

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi mengumumkan keputusan peletakan jawatannya berkuat kuasa 17 Jun ini, diikuti Nik Nazmi yang turut melepaskan jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuat kuasa 4 Julai.-BH Online