Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

AYER KEROH: Kerajaan mempertimbangkan cadangan untuk menaik taraf Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara kepada Suruhanjaya TVET Negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu sedang ditelitinya bersama Kementerian Kewangan sebagai langkah untuk memastikan pendidikan TVET dapat diperkasakan lagi.

“Kami meneliti cadangan itu untuk memastikan keutamaan mentransformasikan TVET dapat dilakukan, termasuk keperluan mencukupi, bentuk latihan yang baik dan bagaimana kita adakan sinergi serta kerjasama antara kerajaan dan swasta.

“Suruhanjaya ini adalah ke arah transformasi TVET yang sudah dikelolakan dengan baik dan meyakinkan ketika ini,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari TVET Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sin, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Sementara itu, Anwar juga menyambut baik usaha meningkatkan kadar gaji minimum sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan untuk lepasan TVET .

“Apa maknanya dasar yang boleh memberikan peluang pekerjaan yang lebih baik, dulu kita katakan gaji minimum RM1,700 (tetapi), Datuk Seri (Ahmad) Zahid dalam keputusan jemaah menteri untuk TVET ini tidak bersetuju kerana kalau ada peluang pekerjaan dapat sampai 98 peratus gajinya jumlah itu (RM1,700) itu tidak cukup.

“Gaji minimum untuk lulusan TVET kita nak naikkan kalau boleh sampai RM3,000 minimum sebagai permulaan supaya ada pakar yang dihargai dan diterima oleh syarikat multinasional dan juga syarikat tempatan atau domestik,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan merangka untuk menumpukan kepada usaha membantu lulusan TVET dalam bidang keusahawanan berbentuk latihan.

Katanya, fokus awal diberi adalah berbincang dengan badan dan syarikat kerajaan seperti PETRONAS, PERKESO, Khazanah Nasional serta Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan digabungkan untuk melaksanakan usaha terbabit.

“Saya akan pastikan kita (kerajaan) akan bersidang secepat mungkin untuk memastikan yang pertama, penumpuan mereka supaya ada sinergi syarikat terbabit dengan TVET seperti mana yang sudah dimulakan ketika ini.

“Kedua, menumpukan untuk membantu dalam bidang latihan dan keusahawanan supaya dapat dipastikan anak-anak lulusan TVET dapat pendedahan dengan syarikat serta industri baharu.

“Untuk keseluruhan ini mungkin memerlukan perbelanjaan besar, walaupun sudah ditambah tapi saya meluluskan tambahan RM40 juta lagi untuk Majlis TVET Negara dan RM10 juta lagi untuk kerajaan Melaka melaksanakan program TVET, teknikal dan keusahawanan yang diselaraskan oleh Majlis TVET Negara,” katanya.