Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

AYER KEROH: Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat apabila jumlah pelajar yang sudah berdaftar dan mengikuti pelajaran di 1,398 institusi di seluruh negara mencecah 436,285 orang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tahun lalu sahaja seramai 212,022 pelajar iaitu 53.56 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf, memilih untuk menyambung pengajian di institusi TVET.

Katanya, bagi permohonan Julai yang bakal ditutup Isnin ini pula, sebanyak 140,027 permohonan diterima menerusi platform UP_TVET. 

“Saya mengucapkan tahniah kepada enam universiti yang menganggotai Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang menjurus ke arah untuk mengambil pelajar dalam bidang teknikal dan teknologi.

“Insya-Allah pengambilan yang akan datang kita akan selaraskan semuanya bagi memenuhi cita-cita Perdana Menteri untuk mewujudkan seramai 60,000 jurutera bagi syarikat tempatan yang memerlukan jurutera serta tenaga mahir,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Sambutan Hari TVET Negara 2025 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, untuk tahun ini, kerajaan akan memberi tumpuan khusus kepada keusahawanan berasaskan kemahiran dan teknopreneurship. 

Katanya, usaha itu adalah untuk melahirkan lebih ramai graduan TVET yang bukan sahaja mahir dari segi teknikal dan praktikal, tetapi juga mempunyai semangat keusahawanan yang mampu menjana pendapatan lumayan.

“Melalui Tekun Nasional di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), kerajaan sudah memperuntukkan RM30 juta bagi melaksanakan Skim Pembiayaan TVET.

“Sehingga April lalu, sebanyak RM9.9 juta disalurkan kepada 370 usahawan TVET di seluruh negara. Ini membuktikan bahawa TVET bukan sekadar laluan ke pasaran kerja, tetapi juga gerbang kepada pendidikan berdikari dalam melahirkan pemilik perniagaan, pencipta pekerjaan dan pemacu ekonomi tempatan. 

“Saya menyeru graduan TVET supaya tidak melepaskan peluang ini, insya-Allah gabungan kemahiran dan sokongan pembiayaan ini adalah kunci untuk melangkah lebih jauh,” katanya.-BH Online