Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini diseru menghayati semangat pengorbanan, keikhlasan dan ketaatan kepada Allah SWT sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1446 Hijrah, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Menerusi hantaran di Facebook, Shamsul Azri berkata Hari Raya Aidiladha merupakan hari kebesaran Islam yang memperingati kisah agung Nabi Ibrahim dan puteranya Nabi Ismail, yang menjadi simbol ketundukan mutlak kepada kehendak Ilahi.

“Marilah kita mengambil iktibar daripada semangat pengorbanan ini dalam memperkukuh nilai-nilai murni dalam kehidupan peribadi, bermasyarakat dan berorganisasi.

“Kepada yang melaksanakan ibadah korban, semoga amalan tersebut diterima oleh Allah SWT dan menjadi asbab untuk kita meraih keampunan serta keberkatan daripada-Nya,” katanya.

Shamsul Azri turut menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam serta mendoakan raya ini membawa keberkatan, perpaduan dan kesejahteraan buat semua.-BH Online