Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Langkah ketat yang dikenakan Sarawak yang hanya mengimport lembu dari negara yang bebas penyakit kuku dan mulut (Aphthae epizooticae) dikenal pasti punca harga daging lembu segar mahal di negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Sarawak teliti dalam perkara itu bagi mengelak penularan penyakit berkenaan.

Justeru, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penstabilan Harga Barang berkata, harga daging lembu hanya boleh diturunkan jika kebergantungan kepada lembu import dikurangkan.

“Sarawak memang mengambil langkah ketat dalam pengimportan lembu iaitu hanya mengambil daripada negara-negara yang ada bebas daripada penyakit kuku dan mulut. Jadi ini mungkin salah satu punca (harga daging lembu mahal).

“Untuk mengatasi isu ini saya cadangkan untuk menggalakkan penternak membela lembu tempatan, untuk mengurangkan import lembu,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri ibadah korban di Masjid Darul Husni Warrahmah di Taman Hussien, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar ini semalam mengenai harga daging lembu segar di Sarawak antara termahal di negara ini apabila mencecah RM95 sekilogram.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, pihak yang bertanggungjawab terhadap penternakan terutamanya Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak supaya memberi tumpuan kepada usaha untuk menggalakkan lebih ramai penternak mengusahakan ternakan lembu.

“Jika kita dapat mengembangkan penternakan lembu tempatan, tidak mustahil harga dapat dikurangkan, seperti harga daging kerbau di utara Sarawak terutamanya di Limbang yang lebih murah berbanding lembu kerana pengeluaran kerbau tinggi di kawasan itu.

“Dari sudut teori ekonomi, bila permintaan itu lebih banyak daripada bekalan, maka ianya akan dapat menurunkan harga,” katanya.

Menurutnya lagi, Program Fidlot Nasional yang dilaksanakan di Gemas sebelum ini mungkin dapat dikembangkan ke Sarawak bagi membantu meningkatkan pengeluaran daging lembu segar tempatan di wilayah ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas pengurangan kakitangan Petrolium Nasional Bhd (PETRONAS) yang akan dilaksanakan secara berperingkat sepanjang tahun depan, Fadillah berkata, beliau akan berjumpa dengan syarikat berkenaan untuk mendapatkan butiran lanjut perkara itu.

“Saya perlu mendapatkan taklimat dan selepas memastikan rancangan pemberhentian pekerja dapat dikurangkan.

“Kalau boleh kita cuba elakkan (pengurangan pekerja), itulah yang saya akan lakukan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kira-kira 5,000 kakitangan PETRONAS akan dikurangkan dengan kebanyakannya berstatus kontrak.-BH Online