KUALA LUMPUR, 7 Jun – Harga dan bekalan telur ayam kekal stabil di pasaran meskipun kadar subsidi telah dikurangkan daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji sejak sebulan lalu, sebelum subsidi tersebut dihentikan sepenuhnya pada 1 Ogos 2025.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan keadaan harga telur ketika ini berada pada tahap yang stabil tanpa sebarang rungutan besar daripada pengguna, termasuk menjelang musim perayaan yang lazimnya menyaksikan permintaan meningkat.
“Sekarang ini keadaan harga telur stabil. Tidak ada rungutan yang jelas. Kalau ada pun kekurangan di sesuatu tempat, itu perkara biasa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Program Klinikal untuk Pendidikan Antarabangsa di Jalan Klang Lama, di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan keyakinan bahawa kestabilan harga telur akan terus kekal sehingga tarikh penamatan subsidi sepenuhnya pada 1 Ogos ini.
Mohamad turut memuji kerjasama erat yang diberikan oleh para penternak ayam dan pemain industri yang disifatkan sebagai sangat positif dalam mendukung langkah kerajaan melakukan penstrukturan semula subsidi dan harga pasaran telur.
“Setakat ini kerjasama daripada penternak amat memberangsangkan. Mereka memberi kerjasama yang baik terhadap usaha kerajaan dan kementerian,” jelas beliau.
Sementara itu, katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sendiri sedang giat menjalankan pemantauan ketat bagi memastikan harga telur dan ayam tidak membebankan pengguna.
Dalam perkembangan berkaitan, apabila ditanya sama ada kerajaan akan menyediakan bantuan atau sokongan khusus kepada industri selepas penamatan subsidi pada Ogos ini, Mohamad menyatakan bahawa kerajaan terbuka untuk berbincang jika terdapat keperluan, namun sehingga kini belum ada sebarang tuntutan rasmi daripada pihak industri.
“Kalau ada apa-apa masalah, kita akan berbincang. Setakat ini belum ada tuntutan rasmi daripada pemain industri,” katanya lagi.
Penarikan subsidi harga telur secara berperingkat merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menyusun semula struktur ekonomi makanan negara, selain menggalakkan kecekapan pasaran dalam jangka panjang.-BH Online