Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MINA, Arab Saudi: Kira-kira 50 peratus jemaah haji Malaysia yang memilih untuk melaksanakan nafar awal dijangka mula bergerak pulang ke penginapan masing-masing di Makkah bermula pagi esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata jemaah yang melaksanakan nafar awal, iaitu mereka yang telah menyempurnakan empat daripada enam rukun haji, dijadual meninggalkan Mina bermula pukul 6.30 pagi.

“Bagi mengurangkan kesesakan, kita akan membahagikan jemaah kepada dua kumpulan untuk melaksanakan nafar awal.

“Sebanyak 50 peratus daripada jumlah jemaah akan menyempurnakan nafar awal terlebih dahulu dan kembali ke Makkah.

“Langkah ini akan membantu melancarkan pergerakan jemaah serta memudahkan pengurusan oleh pihak Tabung Haji,” katanya kepada petugas media selepas melakukan lawatan di khemah penginapan jemaah haji Malaysia, di sini, hari ini.

Mohd Na’im turut mengingatkan jemaah agar mematuhi peraturan ‘lockdown‘ yang ditetapkan antara pukul 10 pagi hingga 4 petang, bagi mengelakkan mereka berada terlalu lama di kawasan panas dan terdedah kepada risiko kesihatan.

“Jemaah diingatkan supaya sentiasa mematuhi arahan dan nasihat yang diberikan oleh petugas kesihatan serta petugas ibadah demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Na’im turut merakamkan penghargaan kepada jemaah haji Malaysia yang menunjukkan tahap disiplin dan kebersihan yang tinggi sepanjang berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina, sekali gus menyerlahkan imej jemaah Malaysia berbanding negara lain.

“Sepanjang pemerhatian saya di Arafah dan Muzdalifah, kem-kem penginapan kita berada dalam keadaan sangat bersih. 

“Ini membuktikan bahawa jemaah Malaysia benar-benar menghayati kepentingan menjaga kebersihan dan akhlak mulia sebagai sebahagian daripada ibadah haji,” katanya.

Menurut Mohd Na’im, sehingga semalam (10 Zulhijjah), semua jemaah haji Malaysia telah selamat tiba di Mina dan hampir kesemuanya telah melaksanakan lontaran Jamrah Kubra, iaitu antara kewajipan haji, serta melakukan bertahallul awal dengan mencukur atau memotong sekurang-kurangnya tiga helai rambut.– BERNAMA