GENEVA, 6 Jun– Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa perlindungan segera dua hospital terakhir yang masih beroperasi di Gaza.
Menurut WHO, Kompleks Perubatan Nasser dan Hospital Al-Amal berisiko menjadi tidak berfungsi akibat sekatan bantuan yang dikenakan Israel, sambil menyatakan sistem kesihatan di kawasan terkepung itu akan bertambah buruk.
“Tiada hospital yang berfungsi di utara Gaza. Nasser dan Amal adalah dua hospital awam terakhir yang berfungsi di Khan Younis, di mana kebanyakan penduduk tinggal,” kata agensi PBB itu dalam satu kenyataan.
“Tanpa dua hospital itu, orang ramai akan kehilangan akses kepada perkhidmatan kesihatan kritikal,” katanya.
WHO menambah bahawa penutupan kedua-dua hospital itu akan mengakibatkan kekurangan sebanyak 490 katil bagi menampung pesakit, terutama mereka yang memerlukan rawatan pembedahan, rawatan rapi, perkhidmatan bank darah dan transfusi, rawatan kanser dan dialisis.
Selepas hampir 20 bulan peperangan tercetus, Gaza terperangkap dalam salah satu krisis kemanusiaan paling teruk di dunia, dengan orang awam terus menjadi mangsa pengeboman, pemindahan penduduk secara besar-besaran dan kelaparan yang teruk. –AFP