SEPANG: Pelancaran Taman Aero Selangor (SAP) mampu membantu menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai peneraju hab kargo udara di ASEAN.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pembangunan SAP bukan sekadar projek perindustrian biasa, sebaliknya selaras dengan visi jangka panjang kerajaan untuk memperkukuh kedudukan KLIA sebagai aeropolis bersepadu yang memacu pertumbuhan sektor aeroangkasa negara.
“Kementerian Pengangkutan menyokong penuh usaha sama antara Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) dalam membangunkan SAP.
“Taman aero ini akan melengkapkan pelan pembangunan hab kargo udara KLIA yang kini sedang giat dibangunkan,” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah SAP di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han.
Projek SAP meliputi keluasan keseluruhan 242.81 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM2.3 bilion, dan akan dibangunkan secara berfasa mengikut kesediaan infrastruktur dan permintaan pelabur.
Bagi fasa pertama, 80.94 hektar akan dibuka serta-merta kepada pelabur, dengan GE Aerospace tampil sebagai penyewa utama, membangunkan fasiliti seluas 40 hektar merangkumi pusat ujian enjin dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi pasaran Asia Pasifik.
Mengulas lanjut, Loke berkata, KLIA memiliki kelebihan yang tidak boleh ditandingi lapangan terbang lain di rantau ini, antaranya keluasan mencecah 100 kilometer persegi, yang membolehkan pembangunan hingga lima landasan berbanding tiga ketika ini.
“Tiada lapangan terbang lain di ASEAN yang mempunyai potensi saiz seperti KLIA. Kita juga sedang memperluas zon kargo dan pergudangan yang sedia ada untuk menyokong pertumbuhan sektor logistik udara.
“Malaysia juga telah menjalinkan persefahaman strategik dengan China untuk menjadikan KLIA sebagai pusat penghantaran kargo udara ke rantau ASEAN.
“Pelaburan dalam SAP akan memberi tumpuan kepada rantaian bekalan sektor aeroangkasa termasuk pembuatan komponen, teknologi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO). Ini penting untuk menarik pelabur domestik dan asing ke kawasan sekitar KLIA,” katanya.
Sementara itu, Amirudin berkata, pembangunan SAP meletakkan negeri Selangor sebagai hab aeroangkasa terulung serantau, memanfaatkan lokasi strategik dan kekuatan industri tempatan.
“Selangor mengalu-alukan pelabur dengan pelbagai insentif dan program pembangunan bakat untuk memastikan pertumbuhan mampan dan daya saing jangka panjang.
“Taman ini dirancang untuk menjadi ekosistem lengkap bagi aktiviti aeroangkasa termasuk pembuatan komponen, avionik, teknologi pendorong, elektronik bernilai tinggi serta kemudahan logistik dan rantaian bekalan canggih,” katanya.
Kemudahan yang mesra pekerja turut dilengkapi dengan teknologi keselamatan pintar seperti CCTV pengecaman wajah dan nombor plat, lampu jalan berkuasa solar, pemantauan penyelenggaraan automatik, taman hijau, penginapan kakitangan dan kemudahan komersial.
MBI juga akan menjalankan program latihan dan pembangunan tenaga kerja, manakala MAHB menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar dan sistem tadahan air hujan bagi memastikan kelestarian.-BH Online