AYER KEROH: Kerajaan negeri meneruskan Program Tuisyen Percuma khusus bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) daripada keluarga B40 untuk tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata sejumlah RM200,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan inisiatif terbabit dengan tujuan membantu pelajar kurang berkemampuan untuk mengikuti kelas tambahan berkualiti sebelum menduduki peperiksaan berkenaan.
Katanya, ia secara tidak langsung menterjemahkan kepada hasrat dan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan akses pendidikan berkualiti bagi rakyat Melaka.
“Pelaksanaan inisiatif ini diharap dapat memastikan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan tidak keciciran dalam akademik.
“Kerajaan negeri sangat prihatin terhadap cabaran yang dihadapi oleh pelajar daripada keluarga B40 dalam melakukan persediaan menghadapi peperiksaan, justeru, Program Tuisyen Percuma ini diwujudkan bagi pelajar berkenaan mengikuti kelas tambahan percuma tanpa membebankan ibu bapa mereka,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM dan Bijak Sejarah A+ 2024 serta melancarkan Program Bijak SPM 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Yang turut hadir, EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Timbalan EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar serta Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Abdul Aziz Baba.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, pihaknya mahu semua calon SPM dan STPM daripada keluarga kurang berkemampuan di negeri ini mampu memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Sementara itu, beliau berkata, Melaka terus komited dalam memperkasakan aspek pendidikan generasi muda di negeri itu dengan melancarkan inisiatif Bijak SPM.
Katanya, inisiatif berupa penganjuran program berbentuk kecemerlangan pelajar itu diumum serta diluluskan pada Bajet 2025 negeri membabitkan peruntukan berjumlah RM700,000.
“Inisiatif itu akan membabitkan 95 sekolah menengah dan memberi manfaat kepada seramai 12,757 calon SPM di negeri ini.
“Ia juga adalah antara usaha berterusan kerajaan negeri dalam memastikan pelajar mendapat sokongan yang secukupnya untuk menghadapi peperiksaan berkenaan,” katanya.-BH Online