Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

ALOR SETAR: Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengadakan lawatan kerja ke Depot Kastam Darat (ICD) Bukit Kayu Hitam (BKH) dan Zon Perdagangan Bebas baru-baru ini.

Depot itu dibangunkan dan diuruskan oleh syarikat usaha sama yang dibentuk, Bukit Kayu Hitam ICD Sdn Bhd, menerusi perkongsian 60:40 antara PKT Logistics Group Sdn Bhd dan Northern Gateway Sdn Bhd.

Dalam satu kenyataan bertarikh 1 Jun, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan PKT Logistics Group Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Michael Tio, berkata lawatan tersebut merupakan satu pencapaian penting bagi syarikat.

Ia memperlihatkan kesiapsiagaan operasi pelabuhan darat bertaraf dunia dan zon perdagangan bebas Bukit Kayu Hitam ICD yang dibangunkan bagi memperkukuh sektor logistik dan pengangkutan negara.

“Ditubuhkan melalui usaha sama pada 3 Disember 2019, Bukit Kayu Hitam ICD Sdn Bhd menggabungkan dua entiti utama – One Northern Hub Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh PKT Logistics Group Sdn Bhd, dan Northern Gateway Logistics Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Northern Gateway Sdn Bhd.

“Terletak secara strategik bersebelahan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, pembangunan seluas 50 ekar ini terletak di Lebuhraya Utara-Selatan yang juga merupakan laluan utama Sistem Transit Kastam ASEAN (ACTS),” kata Tio.

Menurut kenyataan itu, melalui ACTS, BKH ICD membolehkan pergerakan trak rentas sempadan tanpa duti dengan lancar, menghubungkan Singapura ke Vietnam dan seterusnya ke China.

Pembangunan pelabuhan darat ini dirancang dalam beberapa fasa.

Fasa pertama membabitkan Pelabuhan Darat BKH seluas 12.4 ekar, termasuk kompleks pejabat kastam seluas 19,775 kaki persegi.

Fasa kedua ialah Zon Perdagangan Bebas BKH (Blackwood Forests) seluas 9.3 ekar, yang menempatkan empat gudang berkapasiti tinggi dinamakan Summer, Spring, Autumn dan Winter, dengan keluasan penyimpanan keseluruhan kira-kira 200,000 kaki persegi.

Sementara fasa seterusnya akan melibatkan kemudahan tempat letak kenderaan, stesen minyak dan pengecas kenderaan elektrik (EV), diikuti oleh hab bersepadu yang merangkumi ruang pejabat, pendidikan, runcit dan hospitaliti dikenali sebagai Kompleks Blackwood, kata kenyataan itu.

Tio turut berkongsi pada 2008, pihaknya telah merancang penubuhan One Northern Hub untuk memudahkan eksport dari selatan Thailand melalui pelabuhan-pelabuhan di Malaysia.

“Hari ini (1 Jun), pelancaran BKH ICD dan Zon Perdagangan Bebas, dua komponen pertama One Northern Hub, bertujuan melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai hab logistik ASEAN seterusnya dengan menjadikan pergerakan kargo rentas sempadan lebih lancar, cekap dan selamat.

“Pada masa sama, kami juga berhasrat membawa pembangunan sosioekonomi kepada komuniti setempat,” kata Tio.

Beliau berkata, Zon Perdagangan Bebas tersebut telah dilancarkan secara rasmi pada 1 Jun 2025, mengukuhkan peranannya sebagai pemudahcara perdagangan yang penting.

“Kecekapan operasi merupakan tunjang kejayaan BKH ICD, yang kini beroperasi tujuh hari seminggu dari 7 pagi hingga 10 malam, dengan kapasiti pengendalian sebanyak 250,000 TEU (unit bersamaan 20 kaki) setahun.

“Dilengkapi dengan slot penyusunan canggih bagi kontena kering dan sejuk beku, pelabuhan ini menyasarkan kadar produktiviti melebihi 10 gerakan sejam. Infrastruktur terkini termasuk lorong keluar-masuk fleksibel dan sistem operasi terminal generasi baharu memastikan pengurusan logistik yang lancar,” kata beliau.-BERNAMA