Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Kerajaan sudah mengeluarkan tender untuk 127 projek pembinaan tambahan bilik darjah di sekolah berkepadatan tinggi di enam negeri – Selangor, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Terengganu dan Pulau Pinang membabitkan peruntukan RM88 juta.

Projek itu akan dilaksanakan secara pantas menggunakan kaedah pembinaan Industrialized Building System (IBS) bagi membolehkan bilik darjah tambahan berkenaan siap sepenuhnya menjelang 30 Oktober depan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata projek itu adalah usaha sama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Sejumlah 127 surat setuju terima (SST) diserahkan kepada 127 kontraktor yang berjaya. SST tertinggi dengan 111 bilangan kerja adalah di Selangor, diikuti Perak (7), Pahang (4), Negeri Sembilan (3) dan masing-masing satu di Terengganu dan Pulau Pinang.

“Jumlah keseluruhan (kos pembinaan) berjumlah RM88 juta, yang mana sebuah sekolah sekitar RM1 juta hingga RM2 juta mengikut bilangan bilik darjah (yang akan dibina). Paling banyak pembinaan enam bilik darjah, paling sedikit sebuah. 

“Skop projek membabitkan 117 kerja pembinaan Bilik Darjah Perdana dan 10 bilangan kerja pembinaan Bilik Darjah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah sedia ada. 

“Jadual untuk projek ini sangat pantas, dijangka siap 127 kerja pembinaan bangunan tambahan di sekolah-sekolah berkenaan itu pada 30 Oktober depan. Kerja-kerja ini boleh dimulakan selepas Aidiladha,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi Projek Menangani Isu Sekolah Berkepadatan Tinggi di Pelbagai Negeri di Negeri Selangor, hari ini. 

Dalam perkembangan lain katanya, sejumlah 72 peratus projek sakit di seluruh negara berpunca daripada kontraktor terbabit masalah pengurusan dan kewangan. 

“Saya berharap perkara ini tidak berlaku dalam 127 projek ini,” katanya.-BH Online