Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah berada dalam keadaan baik, selain proses pemulihan berjalan lancar selepas keluar dari Institut Jantung Negara (IJN), Sabtu lalu.

Perkembangan itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi muat naik di laman Facebooknya, malam ini.

Anwar menerusi entri berkenaan turut memaklumkan berkesempatan menziarahi Sultan Hassanal sebelum baginda berangkat pulang ke Bandar Seri Begawan, Brunei, petang tadi.

Beliau dilihat menziarahi Sultan Hassanal dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha sambil diiringi isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Semoga baginda Tuanku dikurniakan keafiatan dan kekal qarar memerintah Brunei Darussalam,” katanya.

BH semalam, melaporkan Sultan Hassanal dibenarkan keluar dari IJN kelmarin, selepas menerima rawatan sejak Selasa lalu.

Menerusi hantaran di Instagram, Jabatan Perdana Menteri (JPM) Brunei memaklumkan baginda kini bersemayam di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Sultan Hassanal Bolkiah, 78, tiba di Malaysia pada 25 Mei lalu untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada 26 dan 27 Mei.

Baginda dilaporkan berehat di IJN sejak 27 Mei kerana keletihan.

Sultan Hassanal menaiki takhta pada 1967. Baginda adalah antara individu terkaya di dunia dan berasal daripada keluarga diraja yang memerintah Brunei, sejak lebih 600 tahun.

Pemerintahan baginda selama beberapa dekad lalu, menyaksikan Brunei mencapai kemerdekaan penuh daripada Britain serta peningkatan taraf hidup rakyat kepada antara tertinggi di dunia.-BH Online