Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Makkah: Seramai 80 jemaah haji Malaysia bagi musim 1446H/2025M yang uzur dan mengalami masalah kesihatan akan dibawa menunaikan ibadah wukuf di Padang Arafah menerusi Program Safari Wukuf, esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, sebanyak lapan bas khas yang diubah suai tempat duduk menjadi katil akan digunakan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan jemaah sepanjang perjalanan ke Arafah.

“Dalam pada itu, seramai 195 petugas kebajikan dan perubatan telah digerakkan sejak tengah malam tadi bagi menyantuni dan membantu jemaah sebaik mereka tiba di Arafah,” katanya selepas menyaksikan pelepasan jemaah haji ke Arafah, di sini, hari ini.

Mohd Na’im berkata, seramai 385 Sahabat Maktab yang juga sukarelawan dalam kalangan jemaah haji dari 11 maktab turut digerakkan bagi memastikan kelancaran keseluruhan operasi Masya’ir pada tahun ini.

“Saya secara peribadi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua petugas haji Tabung Haji serta sahabat maktab yang bertugas dengan penuh komitmen demi memastikan kebajikan dan keselamatan jemaah sentiasa terpelihara,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama mendoakan supaya seluruh operasi Masya’ir berjalan lancar dan semua jemaah haji Malaysia diberikan perlindungan serta memperoleh haji yang mabrur.-MyMetro Online