Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Siasatan teknikal berhubung insiden letupan saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya dijangka siap pada 26 Jun ini. 

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia kemudiannya akan digabung bersama siasatan jenayah bagi memastikan laporan lengkap yang menyeluruh sebelum dibentangkan secara umum. 

“Siasatan teknikal sedang dilakukan dalam rangka masa yang diberikan iaitu 26 Jun ini akan siap.

“Siasatan jenayah tidak boleh kita keluarkan sekarang kerana kita kena cantumkan sekali dengan siasatan teknikal berikutan masih ada ruang yang akan dikenalpasti hasil daripada siasatan jenayah.

“Ini termasuk mengenalpasti keutuhan paip, pergerakan tanah, adakah aktiviti di luar itu memberi tekanan itu semua skop siasatan di bawah teknikal Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP),” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan E-Bike kepada Polis Selangor di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor di sini hari ini.

Turut hadir adalah Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) Datuk Saipolyazan M Yusop. 

Media sebelum ini melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah selesai melengkapkan siasatan berhubung insiden letupan paip gas di Putra Heights termasuk siasatan membabitkan unsur kecuaian atau khianat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya kini masih menunggu hasil siasatan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) yang dijangka dikeluarkan penghujung bulan depan.

Beliau berkata, setakat ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Petronas sudah membantu pihak polis mengeluarkan spesimen yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan.

Dalam kejadian kebakaran pada 1 April lalu itu, 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong.-BH Online