KUALA LUMPUR: Kementerian Digital akan meneliti hasil laporan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) hujung bulan ini sebelum membuat keputusan sama ada negara perlu menggubal undang-undang khas bagi menangani penyalahgunaan teknologi AI.
Menterinya, Gobind Singh Deo, berkata perkara itu kini dalam kajian susulan beberapa pandangan yang dibangkitkan oleh pihak industri, termasuk keperluan mewujudkan akta khusus, atau sekadar memperkenalkan piawaian dan garis panduan peraturan yang mencukupi.
“Perbincangan ini sedang berlangsung. Saya harap menjelang akhir bulan Jun ini, NAIO akan mengemukakan satu laporan kepada saya mengenai hala tuju kita ke depan, khususnya dalam aspek kawal selia teknologi AI.
“Kalau kita lihat perlu ada undang-undang, maka kita akan pertimbangkan. Tetapi kalau peraturan atau piawaian pun memadai, kita akan sesuaikan dengan keperluan, sebab AI ini merentasi semua sektor,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Program Pembangunan Keupayaan Profesional Keselamatan Siber – Pensijilan Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat (C|CISO), di sebuah hotel di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar; Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab; Ketua Pegawai Program Pembangunan Sumber Manusia Berhad, Soffian Mohammed Amin; serta Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif EC Council, Sanjay Bavisi
Gobind berkata kementerian akan memaklumkan keputusan rasmi selepas menerima laporan penuh daripada NAIO hujung bulan ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa usaha kawal selia AI perlu mengambil kira perlindungan terhadap pengguna, khususnya mereka yang menjadi mangsa penyalahgunaan teknologi seperti penipuan digital dan ‘deepfake’.
“Kita mahu memastikan wujud keyakinan dalam kalangan rakyat apabila menggunakan platform digital. Walaupun transformasi digital sangat penting, kita juga sedar ada risiko besar yang timbul daripada penyalahgunaan teknologi, termasuk AI.
“Jadi kita perlu bawa perkara ini ke meja rundingan bersama industri dan pakar, bagi melihat bentuk perlindungan serta kawal selia yang paling sesuai,” katanya.
Gobind berkata kerajaan komited memastikan transformasi digital negara berjalan selari dengan perlindungan menyeluruh terhadap keselamatan maklumat dan kesejahteraan pengguna.-BH Online