Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Tiada keperluan mendesak untuk membuat rombakan Kabinet ketika ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, dua jawatan menteri yang bakal kosong selepas penyandangnya mengumumkan peletakan jawatan baru-baru ini, akan dipangku sementara oleh menteri lain.

“Tiada keperluan mendesak untuk rombakan sekarang. Dua menteri letak jawatan dan beri masa mereka untuk melakukan apa yang perlu dan menghabiskan cuti. Saya luluskan permohonan cutinya. 

“Sekarang urusan kerajaan berjalan seperti biasa dan mesyuarat Kabinet akan dimaklumkan mengenai menteri yang akan pangku (tugas),” katanya mengulas kedudukan Kabinet selepas pengunduran Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad minggu lalu susulan kekalahan mereka mempertahan jawatan timbalan presiden dan naib presiden PKR.

Beliau berkata demikian ditemui media pada Majlis Perasmian Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini. 

Pada 28 Mei lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan mengesahkan bahawa Anwar sudah menerima surat permohonan cuti dan pengunduran sebagai anggota Kabinet daripada Rafizi sebagai Menteri Ekonomi dan Nik Nazmi sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam. 

Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri telah bersetuju meluluskan permohonan cuti kedua-dua menteri berkenaan, selepas meneliti permohonan itu.

“Sebarang keputusan lanjut terkait perkara ini akan dimaklumkan kemudian oleh YAB Perdana Menteri,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Rafizi mengumumkan sudah menghantar surat peletakan jawatan daripada Jemaah Menteri kepada Perdana Menteri.

Peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa pada 17 Jun 2025. Bermula 28 Mei beliau akan menghabiskan baki cuti tahunan hingga 16 Jun 2025.

Sementara itu, Nik Nazmi mengumumkan sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa pada 4 Julai 2025. Beliau bercuti mulai 29 Mei hingga 3 Julai 2025.

KSU, Ketua Pengarah teruskan pentadbiran

Mengulas lanjut, Anwar berkata Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Pengarah sudah ditugaskan untuk meneruskan pentadbiran kementerian termasuk meneruskan rundingan peringkat ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), China serta mendepani isu tarif dengan Amerika Syarikat (AS). 

Spekulasi baru-baru ini muncul menamakan beberapa pemimpin PKR yang dijangka mengisi kuota menteri berkenaan termasuk dua Naib Presiden, Datuk Seri Amiruddin Shaari dan Datuk Seri R Ramanan. 

Amiruddin kini adalah Menteri Besar Selangor, sementara Ramanan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Dua lagi penyandang Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi sementara Datuk Seri Aminuddin Harun adalah Menteri Besar Negeri Sembilan.-BH Online