Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) di sini, selepas menerima rawatan akibat keletihan, sejak Selasa lalu.

Bagaimanapun, baginda akan berehat di ibu negara untuk beberapa hari lagi sebelum pulang ke Brunei.

Pejabat baginda dalam hantaran Instagram pada Sabtu berkata, Sultan Hassanal dimasukkan ke IJN pada Selasa lalu kerana keletihan, namun pejabat baginda menegaskan pemerintah monarki paling lama di dunia itu berada dalam keadaan ‘sihat’.

“Baginda Sultan Hassanal Bolkiah, alhamdulillah, kini kembali ke sebuah hotel selepas beberapa hari berehat di IJN.

“Pakar perubatan menasihati baginda supaya berehat selama beberapa hari lagi sebelum berangkat pulang ke Brunei,” menurut kenyataan itu.

Sultan Hassanal, 78, berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri sidang kemuncak bersama pemimpin ASEAN sebelum dimasukkan ke hospital pada Selasa lalu atas nasihat pakar kesihatan Malaysia.

Baginda adalah pemerintah monarki paling lama di dunia dan menaiki takhta sejak tahun 1967.-MyMetro Online