Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Generasi muda perlu menyemai budaya membaca sebagai usaha mencambah ilmu bagi mengelak terdedah dan terpengaruh dengan kandungan dangkal serta penuh maki hamun di media sosial, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri menegaskan, amalan membaca masih belum menjadi budaya dalam negara, justeru usaha harus segera diterapkan khususnya oleh ibu bapa kepada setiap anak-anak mereka. 

“Membaca ini masih belum menjadi budaya utama dalam negara kita. Ini agak melelahkan. MADANI itu berpaksi pada keyakinan dan kecintaan terhadap ilmu. Bagaimana kita boleh mencintai ilmu kalau tidak berteraskan ilmu sebenar.

“Sayangnya sekarang, kita baca empat ayat atau dengar celoteh dua minit di media sosial, terus buat keputusan. Yang bercakap hanya baca dua buku, yang mendengar hanya baca satu buku.

“Lihat saja polemik politik dan ekonomi di negara kita. Tak baca, hanya ikut sentimen, marah, benci. Hukum agama pun dijadikan gelanggang. Kalau tak setuju, dilabel munafik. Kalau setuju, dikatakan bodoh. Jadi, di mana asas ilmu dalam perbincangan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut sama hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari dan Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron.

Mengulas lanjut, Anwar berkata untuk membawa perubahan politik dan melaksana reformasi kepada dasar negara, juga memerlukan penguasaan ilmu.

“Ada orang kata politik baru. Tapi politik baru apa kalau tiada ilmu? Reformasi juga tidak akan berhasil kalau tiada asas ilmu. Bukan dengan jeritan dan pengaruh media sosial. Ia mesti dengan ilmu. Ini cabaran kepada mahasiswa, anak-anak, ibu bapa, dan pempengaruh.

“Setiap orang harus dipertanggungjawabkan. Mula dari diri. Tapi bila kita bercakap, menulis atau berpidato, kita akan dipertanggungjawabkan kepada Allah. Jangan ikut nafsu serakah kerana tiada asas ilmu yang kukuh,” katanya. 

Beliau berkata, dunia hari ini semakin mencabar, sekali gus memerlukan manusia yang mendalam ilmunya. 

“Tiada negara maju yang rakyatnya dangkal ilmunya secara menyeluruh. Saya nak tegaskan, dalam kita bersaing, kalau teknokrat tidak menganggap budaya itu penting, maka tidak jadilah madani. Kerana madani bukan sekadar bersaing dan meningkatkan martabat dari segi ekonomi, tetapi juga sastera dan budaya.

“Oleh itu, saya nak anak-anak, ibu bapa ambil berat dan fikir perkara ini penting.

Dalam tempoh empat, lima atau 10 tahun akan datang, kita nak angkat Malaysia sebagai negara yang hebat di rantau ini. Untuk itu, kita kena bersedia bersaing dan membaca,” katanya.-BH Online