SIBU: Kementerian Digital meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyediakan laporan berhubung masalah kawasan tiada kesalinghubungan serta menara telekomunikasi tidak berfungsi, khususnya di luar bandar Sarawak.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata kedua-dua isu itu dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negeri (MED4IRN) pada 28 Mei lalu, dengan MCMC diminta untuk mengemukakan laporan berkaitan dalam tempoh enam bulan.
“Saya berharap dalam enam bulan akan datang, kita dapat menerima satu laporan khas daripada MCMC berkaitan masalah itu bersama-sama Kerajaan Sarawak dan (melihat) bagaimana kita dapat bekerjasama untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Inisiatif Jelajah Digital Rumah Panjang di Rumah Collins, Selangau di sini, hari ini.
Program anjuran Digital Nasional Berhad (DNB) – agensi bawah kementerian itu – mempamerkan penyelesaian praktikal di lapangan bertujuan membantu komuniti memanfaatkan alat digital untuk peningkatan ekonomi dan sosial.
DNB dalam kenyataan sempena pelaksanaan program itu memaklumkan, program berkenaan membabitkan ceramah ‘eKelas Usahawan’ oleh Maxis Berhad, sesi literasi kewangan oleh SME Bank, dan ‘boot camp’ TikTok Shop, bagi melengkapi usahawan luar bandar serta belia dengan kemahiran pemasaran digital dan e-dagang.
Di samping itu, sesi dikendalikan oleh CyberSecurity Malaysia (CSM) turut memberi pendidikan penting mengenai keselamatan dalam talian dan tanggungjawab digital.-BH Online