SEREMBAN: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meluahkan keyakinan terhadap prestasi Harimau Malaya menjelang pertembungan penting menentang Vietnam pada aksi kelayakan Piala Asia 2027, selepas seri 1-1 menentang Cape Verde pada aksi persahabatan antarabangsa.
Cape Verde yang berada di ranking ke-72 dunia berbanding Malaysia di tangga ke-131, dianggap lawan yang lebih kuat, namun skuad kendalian Peter Cklamovski berjaya mempamerkan corak permainan kemas dan menjaringkan gol penyamaan menerusi Paulo Josue.
“Prestasi yang dipamerkan skuad Harimau Malaya ketika aksi persahabatan dilihat memberangsangkan kerana pasukan Cape Verde mempunyai ranking dunia lebih tinggi.
“Jadi, ini semestinya bagus untuk kita menjelang bertemu dengan Vietnam bagi aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada Jun ini.
“Saya harap setiap perlawanan itu akan memberikan keyakinan baharu kepada pasukan kita dan itu yang kita perlukan ketika berdepan Vietnam,” katanya kepada pemberita di Seremban malam tadi.
Beliau turut menyeru penyokong memenuhi Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun ini untuk menyuntik semangat pemain.
“Harimau Malaya, semangat mereka datang daripada jeritan rakyat yang datang ke stadium. Jeritan Ultras itu dapat menyuntik semangat pemain untuk menentang pasukan lawan.
“Jadi, saya minta semua penuhi Stadium Bukit Jalil nanti,” katanya.
Hannah turut berharap ranking FIFA Malaysia akan terus meningkat dengan bantuan kewangan kerajaan sebanyak RM15 juta, ditambah RM15 juta daripada pihak korporat bagi pembangunan pasukan kebangsaan.-BH Online