Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Cubaan licik 105 warga asing dari Bangladesh, Pakistan dan India untuk masuk ke negara ini melalui helah transit terbongkar selepas mereka ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin.

Helah transit palsu warga asing itu yang kononnya mendarat di KLIA untuk sementara waktu sebelum mengambil penerbangan ke negara ketiga dikesan oleh Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

Unit Komunikasi dan Korporat AKPS memaklumkan, dalam satu operasi yang dijalankan di KLIA kelmarin, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 400 individu dari Pakistan, Bangladesh dan India.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati 105 daripada mereka tidak memenuhi syarat kemasukan dan diarahkan pulang ke destinasi asal mereka.

“Taktik yang digunakan adalah mengaku hanya untuk transit di Malaysia sebelum menuju ke negara ketiga.

“Namun, hasil siasatan AKPS bersama syarikat penerbangan mendapati tiket penerbangan ke negara ketiga dibatalkan sebaik sahaja mereka menaiki pesawat ke KLIA dan ini adalah salah satu helah yang bertujuan mengaburi pegawai Imigresen di KLIA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, AKPS akan terus mempertingkatkan pengawasan di semua pintu masuk negara, menambah baik mekanisme semakan dan melakukan saringan teliti terhadap setiap individu yang masuk atau keluar dari Malaysia.

AKPS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk pegawai yang cuai atau bersubahat dengan mengenakan tindakan tatatertib serta undang-undang yang tegas kepada mereka.-BH Online