PENAMPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gejala rasuah di negara ini perlu ditangani secara tegas berlandaskan prinsip dan perundangan, bukannya dengan persepsi, fitnah atau maki hamun.
Beliau berkata, Kerajaan MADANI tidak sesekali membenarkan pemimpin memunggah hasil dan kekayaan negeri serta negara bagi menjadikan diri mereka kaya, manakala rakyat hidup kesusahan, sedangkan negara ini mempunyai undang-undang yang wajib dipatuhi bagi memberi keadilan kepada semua.
Justeru, dalam dakwaan video rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, Anwar berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara itu berdasarkan prosedur dan undang-undang, namun beliau kesal ada pihak membangkitkan persepsi kononnya kerajaan menutup kes terbabit.
“Tuduhan bahawa kita menutup (kes rasuah) itu persepsi. Dibangkitkan persepsi, terutama di bandar seolah-olah ada usaha menutup rasuah dan kesalahan, mereka mahu anda semua yakin negara ini tidak selamat.
“Negara ini negara hukum, bukan negara persepsi, bukan negara tuduhan dan fitnah,” katanya berucap merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Sabah di sini hari ini.
Majlis sambutan yang diadakan di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) itu turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Anwar berkata, siasatan terhadap perkara itu masih berjalan dengan video dikemukakan perlu diteliti, justeru semua pihak seharusnya memberi ruang sepenuhnya kepada SPRM menjalankan siasatan terhadap dakwaan terbabit.
Beliau berkata, walaupun memegang jawatan Perdana Menteri, beliau tidak sama sekali campur tangan dalam kes dakwaan rasuah dan menjelaskan setiap pihak mempunyai tanggungjawab masing-masing berdasarkan sistem perundangan negara.
“Siasat itu kerja SPRM atau polis, dakwa itu kerja peguam negara, hukum itu kerja hakim dan saya sebagai Perdana Menteri harus jaga supaya sistem itu berjalan lancar dan berkesan.
“Bukan Perdana Menteri siasat, dakwa, hukum, hal itu diktator namanya … kita pernah lalui (situasi itu) suatu ketika dulu, saya tahu, jadi jangan minta saya ulangi sistem seperti dulu,” katanya. – BERNAMA