Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PONTIAN: Pelantikan Menteri Ekonomi baharu disaran disegerakan susulan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dijadualkan Julai nanti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata pelantikan itu penting berikutan RMK13 adalah dokumen berimpak tinggi yang perlu diurus dengan sebaik mungkin.

Malah, beliau berkata, dokumen RMK13 kebiasaannya memerlukan proses penelitian beberapa kali sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Draf RMK13 itu sudah disediakan oleh Datuk Seri Rafizi Ramli yang menerajui Kementerian Ekonomi dan akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jadi saya berpandangan Menteri Ekonomi sangat penting ketika ini bagi memeriksa dan meneliti draf RMK13 sebelum ia dibentangkan Julai nanti.

“Bagaimanapun, pelantikan Menteri Ekonomi baharu itu adalah kuasa mutlak Perdana Menteri,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Vokasional Tanjung Piai, di sini, hari ini.

Pada Mac lalu, Kementerian Ekonomi diterajui Rafizi dilaporkan sedang memuktamadkan penyediaan dokumen RMK13 yang dijangka dibentangkan di Parlimen, Julai ini.

Bagaimanapun, Rafizi dan Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, dilaporkan mengumumkan peletakan jawatan masing-masing berkuat kuasa 17 Jun dan 4 Julai depan selepas mereka tewas pada pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR 2025 pada minggu lalu.

Rafizi gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar, manakala Nik Nazmi tewas pada pemilihan bagi jawatan Naib Presiden.

Semalam, Perdana Menteri dilaporkan masih belum memutuskan untuk mengganti jawatan dua menteri yang dikosongkan susulan kedua-duanya masih bercuti.

Sementara itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya turut memberi penghargaan kepada Rafizi dan Nik Nazmi atas khidmat diberikan selama ini.

“Sebagai teman, saya mengucapkan terima kasih atas segala khidmat mereka. Keputusan mereka adalah keputusan dalaman parti mereka,” katanya.

Mengulas isu pengunduran menteri daripada PKR itu, Ahmad yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan berkata, Perdana Menteri memiliki kuasa penuh untuk melantik sesiapa saja sebagai pengganti.

“Sama ada (pengganti) daripada PKR atau sesiapa saja, itu terpulang kepada Perdana Menteri. 

“Namun, tentunya pimpinan PKR mendesak kekosongan itu diganti individu daripada parti itu juga, itu logik politiknya.

“UMNO melihat dari jauh segala perkembangan yang ada, namun rakyat mungkin melihat dari dekat apa yang berlaku,” katanya.-BH Online