KUALA LUMPUR: Pejabat Perdana Menteri mengesahkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menerima surat permohonan cuti dan pengunduran sebagai anggota Kabinet daripada Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Menurut kenyataan hari ini, Perdana Menteri telah bersetuju meluluskan permohonan cuti kedua-dua menteri berkenaan, selepas meneliti permohonan itu.
“Sebarang keputusan lanjut terkait perkara ini akan dimaklumkan kemudian oleh YAB Perdana Menteri,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, Rafizi mengumumkan sudah menghantar surat peletakan jawatan daripada Jemaah Menteri kepada Perdana Menteri.
Peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa pada 17 Jun 2025. Bermula dari hari ini, beliau akan menghabiskan baki cuti tahunan hingga 16 Jun 2025.
Sementara itu, Nik Nazmi mengumumkan sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkuat kuasa pada 4 Julai 2025.
“Saya bercuti bermula esok hingga 3 Julai 2025,” katanya menerusi Facebook.-BH Online