Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: ASEAN berpotensi menjana pendapatan tambahan dalam ekonomi hijau sebanyak AS$300 bilion (RM1.27 trilion) setahun dan membuka nilai baharu sehingga AS$1.5 trilion (RM6.36 trilion) menjelang 2030.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata unjuran nilai itu akan berlaku sekiranya pelaburan hijau dan kerjasama rentas sempadan dalam grid kuasa serantau, pasaran karbon serta insentif tenaga bersih terus dipertingkatkan.

Beliau berkata, ia juga seiring dengan dua pemacu utama bagi kemajuan ASEAN dalam dekad akan datang iaitu teknologi hijau dan transformasi digital.

“Jika risiko iklim tidak ditangani secara serius, ASEAN berdepan kehilangan sehingga 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2050.

“Namun, peluang ekonomi yang hadir melalui pelaburan hijau dilihat jauh lebih besar. Malaysia, sebagai contoh, melalui Strategi Pelaburan Hijau telah meluluskan hampir 1,000 projek pada 2024, dengan nilai pelaburan mencecah RM20.8 bilion serta mencipta ribuan pekerjaan berorientasikan masa depan,” katanya ketika ucaptama Forum Perniagaan ASEAN 2025 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid.

Tengku Zafrul berkata, antara agenda ekonomi hijau lain yang sedang dirangka oleh ASEAN adalah ASEAN Taxonomy untuk Kewangan Mampan, Garis Panduan Pelaburan Mampan dan Buku Panduan Penghijauan Rantaian Nilai.

Beliau berkata, Strategi Neutral Karbon ASEAN turut menjadi agenda utama melalui inisiatif seperti penyelarasan pasaran karbon dan piawaian pengukuran, kemajuan teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCS/CCUS) serta kerangka peralihan adil untuk pekerja dan komuniti. 

Menurutnya, kesemua usaha itu akan memudahkan sektor korporat untuk beralih ke arah pertumbuhan yang lestari dan mesra iklim.

Malah, tegasnya pelaksanan Grid Kuasa ASEAN (APG) akan menjadi menjadi projek utama dalam peralihan tenaga mampan ASEAN dengan 18 projek kuasa rentas sempadan dalam perancangan dan lebih 60 lokasi tenaga boleh diperbaharui dikenal pasti.

“Kajian menunjukkan APG boleh menyumbang sehingga AS$3 trilion kepada KDNK menjelang 2050 dan mewujudkan 1.45 juta pekerjaan di seluruh rantau. Kejayaan APG bergantung kepada pembiayaan strategik daripada institusi seperti Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Bank Dunia, sekali gus memastikan peranan utama ASEAN dan autonomi serantau terus terpelihara.

“Pada masa sama, kita turut dalam proses rundingan ASEAN Digital Economy Framework Agreement (DEFA) yang bertujuan untuk menggandakan saiz ekonomi digital ASEAN kepada AS$2 trilion menjelang 2030, dengan menghubungkan e-dagang, teknologi kewangan, kewangan digital dan penyelesaian berasaskan AI merentasi sempadan,” katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, agenda dan perancangan di bawah ASEAN ini hanya akan bermakna jika manfaatnya dapat dirasai dan dinikmati oleh semua penduduk rantau ini. 

Beliau berkata, bagi membuka potensi ASEAN, semua pihak perlu menutup jurang dan melihat kepada pemerkasaan setiap aspek yang terdapat di dalam rantau ini.

Katanya, ini adalah seperti memanfaatkan sepenuhnya potensi 334 juta wanita atau separuh daripada populasi ASEAN yang berpotensi menambah sehingga AS$2.3 trilion kepada KDNK serantau. 

“Di Malaysia, keterangkuman diletakkan sebagai teras kepada strategi ekonomi negara, dengan memberi tumpuan kepada wanita, belia, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan industri kreatif sebagai rakan kongsi sebenar dalam kejayaan bersama.

“Masa depan ASEAN ialah masa depan di mana setiap suara diiktiraf dan pintu sentiasa terbuka untuk semua,” katanya.-BH Online