Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 28 Mei- Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk memperkukuh ekosistem industri halal negara melalui penubuhan sebuah Suruhanjaya Halal khusus.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, perkara itu bagi memastikan pengurusan sektor halal lebih tersusun dan efisien.

Justeru beberapa cadangan dibangkitkan termasuk cadangan pergabungan antara Halal Development Corporation (HDC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), namun kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati agar tidak berlaku pertindihan fungsi antara agensi yang sedia ada.

“Salah satu tumpuan utama ialah bagaimana untuk memberi fokus lebih jelas kepada pembangunan industri halal negara. Kita tidak mahu berlaku pertindihan antara HDC, MATRADE dan juga MIDA,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Forum Ekonomi ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di ibu negara.

Dalam konteks perdagangan halal, MATRADE akan terus memfokuskan kepada aspek promosi dan akses pasaran produk halal di peringkat antarabangsa, manakala MIDA akan menumpukan kepada pelaburan berkaitan sektor halal.

Perkara itu membolehkan HDC memberi fokus penuh kepada pembangunan industri halal secara menyeluruh termasuk pembangunan kapasiti, piawaian dan inovasi dalam sektor ini.

Cadangan penubuhan Suruhanjaya Halal tersebut telah dibincangkan di peringkat Majlis Halal Negara yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dan bakal dibentangkan ke Jemaah Menteri untuk pertimbangan lanjut.

MITI akan bertindak sebagai sekretariat kepada cadangan ini dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan.

“Insya-Allah, perkara ini akan saya bawa ke Kabinet dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Penubuhan Suruhanjaya Halal dijangka mampu memperkasa Malaysia sebagai hab halal global dan menyelaraskan semua inisiatif halal bawah tadbir urus yang sama dan lebih berkesan.-Berita RTM