KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan sudah menghantar surat peletakan jawatan daripada Jemaah Menteri kepada Perdana Menteri.
Peletakan jawatan ini akan berkuat kuasa pada 17 Jun 2025. Bermula dari hari ini, beliau akan menghabiskan baki cuti tahunan hingga 16 Jun 2025.
“Saya menyertai politik untuk membudayakan politik baru yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat. Kekalahan saya dalam pemilihan PKR baru-baru ini bermakna saya tidak lagi mempunyai mandat dari parti saya untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan.
“Seperti mana amalan di negara-negara yang menitik berat prinsip demokrasi, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti perlu memberi laluan kepada pemimpin yang menang mengambil tempat di dalam kerajaan,” dalam kenyataan di Facebook.
Menurut Rafizi, beliau ingin mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada kepimpinan dan kakitangan Kementerian Ekonomi yang telah memberi dukungan penuhnya sepanjang berkhidmat.
“Saya telah melihat sendiri kecekapan dan kemampuan sebahagian besar penjawat awam di sini, yang berupaya merangka dasar dan disusuli dengan kerangka program yang berkesan,” katanya
Rafizi berkata, beliau yakin program-program untuk membaiki struktur ekonomi negara yang telah dipelopori oleh Kementerian Ekonomi akan terus dilaksanakan dengan jaya oleh penjawat-penjawat awam.
Amanah terakhir beliau sebagai Menteri Ekonomi telah disempurnakan dengan penghasilan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang telah dimuktamadkan dan menunggu untuk dibentangkan di Parlimen dalam sidang yang seterusnya.
RMK13 telah digubal untuk memberi penekanan kepada reformasi pendidikan yang lebih menyeluruh, termasuk beberapa reformasi struktur yang membabitkan Kementerian Pendidikan.
Sehubungan itu, Rafizi berharap Jemaah Menteri tetap mengekalkan beberapa reformasi berani yang membabitkan Kementerian Pendidikan di dalam RMK13, walaupun beliau tidak lagi berada dalam Jemaah Menteri.
“Akhir sekali, saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan penghargaan kepada rakyat Malaysia, penjawat awam, pihak swasta, pihak media dan semua pemegang taruh yang pernah berurusan sepanjang saya menjadi Menteri Ekonomi.
“Perjalanan kita untuk merubah struktur ekonomi negara menjadi lebih kukuh dan mencapai status negara berpendapatan tinggi adalah masih jauh. Oleh itu, kita wajar terus mengambil keputusan yang baik untuk jangka panjang, walaupun keputusan itu sukar dan berliku, demi generasi masa hadapan,” katanya.
Pada 10 Mei lalu, Rafizi menyatakan kesediaan untuk meletak jawatan dalam Kabinet jika gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR.
Rafizi berkata, walaupun berundur daripada Kabinet, tugas sebagai Ahli Parlimen Pandan akan tetap diteruskan dan ketika itu, beliau bebas untuk berbicara dalam apa saja perkara.
Pada Pemilihan PKR 2025 peringkat pusat pada 23 Mei, Rafizi tewas kepada Nurul Izzah Anwar selepas memperoleh 3,866 undi berbanding Nurul Izzah 9,803 undi, dalam persaingan satu lawan satu bagi jawatan itu.
Media semalam melaporkan Presiden PKR Anwar Ibrahim sudah memanggil barisan kepimpinan baharu parti itu untuk bermesyuarat dan menjalankan ‘post-mortem’ terhadap pemilihan parti serta membuat keputusan mengenai lantikan jawatan parti.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan antara agenda mesyuarat adalah perbincangan mengenai jawatan lantikan untuk Rafizi.
Antara jawatan lantikan dalam PKR, termasuk Setiausaha Agung dan beberapa jawatan Naib Presiden.
Rafizi perkenalkan pelbagai inisiatif termasuk PADU
Rafizi yang berasal dari Besut, Terengganu turut mencadangkan klasifikasi kumpulan pendapatan T15, yang bakal menggantikan kategori B40, M40 dan T20 sebelum ini.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada perancangan dan pembentangan belanjawan negara, terutamanya di bawah rancangan pembangunan dan ekonomi seperti Rancangan Malaysia Ke-11 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Beliau juga telah memperuntukkan banyak masa dan usaha bagi pembangunan dan pelaksanaan Pangkalan Data Utama (PADU).
PADU merupakan repositori data bagi semua individu dan isi rumah yang terdiri daripada warganegara dan penduduk tetap di Malaysia, yang bertujuan menambah baik perancangan dasar dan pelaksanaan program berasaskan data.
Bagaimanapun, projek berkenaan menerima kritikan berikutan kebimbangan bahawa rakyat digesa untuk mendaftar dan mendedahkan maklumat kewangan serta peribadi mereka.
Rafizi turut terlibat dalam pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), yang menjadi antara strategi kerajaan untuk memajukan pembangunan Bumiputera ke arah mewujudkan Malaysia sebagai ekonomi serantau yang terkemuka.
Sebelum menggalas peranan sebagai menteri, bekas akauntan berkanun ini pernah berkhidmat di PETRONAS mulai 2005 hingga 2009 sebagai pengurus kanan dalam perancangan perniagaan, operasi dan teknologi transaksi petrokimia, dan kemudiannya berkhidmat dalam bidang perakaunan, pembelanjaan dan percukaian.
Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai pengurus besar di Pharmaniaga.
Rafizi turut meneraju Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor sebagai ketua pegawai eksekutif.
Bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar ini juga telah menubuhkan INVOKE Malaysia pada 2016 –organisasi bukan untung yang memberi tumpuan kepada isu politik, ekonomi dan sosial — yang kemudiannya berkembang sebagai usaha niaga teknologi komersial.-BH Online