Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

NIBONG TEBAL: Tingkatan Enam wajar menjadi pilihan utama pelajar melanjutkan pengajian selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana pengajian itu setanding dengan program antarabangsa seperti Cambridge.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bukan laluan kelas kedua memandangkan kelulusan itu mendapat pengiktirafan lebih daripada 2,000 universiti seluruh dunia.

Katanya, penjenamaan semula Tingkatan Enam antara usaha strategik yang dilaksanakan seiring dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025 dalam memperkasa laluan pasca menengah. 

“Inilah iltizam kita untuk memastikan setiap anak Malaysia mendapat akses kepada pendidikan berkualiti, berimpak tinggi, dan mampu membawa mereka ke pentas global.

“Dalam memastikan kelangsungan dan kesaksamaan akses pendidikan, kerajaan turut memperluas Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada murid Tingkatan Enam mulai tahun 2025.

“Seramai lebih 100,000 orang murid Tingkatan Enam menerima manfaat ini dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM15 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Dermasiswa Pelajar STPM anjuran Farm Fresh Berhad Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Sheh Barakbah, di sini, semalam.

Dalam program itu, pelajar Tingkatan Enam daripada keluarga berpendapatan rendah atau B40 disasarkan menerima pemberian tunai sebanyak RM100 sebulan oleh syarikat korporat berkenaan bermula Mei hingga akhir tahun ini.

Fadhlina berkata, program berkenaan sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial korporat yang menyantuni keperluan semasa pelajar Tingkatan Enam.

“Saya dimaklumkan program ini akan diteruskan sehingga tahun 2029 dengan anggaran perbelanjaan keseluruhan mencecah RM2.8 juta. 

“Ini adalah satu komitmen besar yang sangat kami hargai dan alu-alukan,” katanya.

Beliau berkata, seramai 500 pelajar dari 10 negeri di Semenanjung dikenal pasti sebagai penerima awal program berkenaan.-BH Online