PUTRAJAYA: Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam sekadar tersenyum sebaik meninggalkan pejabatnya di Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di sini, hari ini.
Sambil menyapa petugas media yang menunggu di pekarangan NRES, Ahli Parlimen Setiawangsa itu yang tewas pada pemilihan PKR baru-baru ini, dilihat meninggalkan pejabatnya pada jam 5.20 petang tadi.
“Rajinnya (media) menunggu untuk ambil gambar (saya),” katanya ringkas sebelum memasuki kenderaan rasminya dan berlalu pergi.
Terdahulu, beliau mengumumkan peletakan jawatannya dalam Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi kenyataan yang dikongsikan, Nik Nazmi memaklumkan beliau sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, berkuat kuasa pada 4 Julai 2025.
Dengan pengumuman itu, Nik Nazmi berkata, beliau akan bercuti mulai esok hingga 4 Julai ini.
Pengumuman Nik Nazmi itu dibuat beberapa jam selepas Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Ekonomi.
Kedua-dua menteri itu sebelum ini tewas pada Pemilihan PKR 2025.
Rafizi gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar, manakala Nik Nazmi tewas pada pemilihan bagi jawatan Naib Presiden.-BH Online