KUALA LUMPUR: Pendekatan berkecuali Malaysia yang tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar dunia, sama ada China mahupun Amerika Syarikat (AS), terbukti memberi pelbagai manfaat strategik kepada negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sebagai sebuah negara bersaiz sederhana, Malaysia mengambil pendekatan praktikal dengan tidak terjebak dalam persaingan geopolitik, sebaliknya membina hubungan strategik dengan semua pihak.
“Malaysia tidak perlu memilih pihak. Sebaliknya, kita memilih untuk bekerjasama dengan kedua-duanya, dan pendekatan ini nyata membawa manfaat kepada negara,” katanya ketika menyertai sesi panel Forum Ekonomi ASEAN-GCC Fortune 2025 di sini, hari ini.
Menurut Saifuddin, kedua-dua AS dan China merupakan peneraju dalam penyelidikan dan pelaburan kecerdasan buatan (AI), dan Malaysia mampu meraih kelebihan daripada kedua-duanya melalui kerjasama strategik.
“Melalui kerjasama ini, Malaysia dapat membawa masuk peralatan AI paling berkesan dan mampu milik, selaras dengan keperluan serta kepentingan negara,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan seimbang itu juga membolehkan Malaysia terus berunding dan berinovasi, selain melindungi kepentingan nasional dalam landskap teknologi yang semakin kompleks.
“Pada masa sama, ia turut mengukuhkan kepercayaan bersama rakan serantau di ASEAN, negara Teluk dan masyarakat antarabangsa,” katanya.
Tambah beliau, dasar berkecuali itu turut membuka peluang kepada bakat muda Malaysia untuk menjalani latihan di pusat teknologi utama dunia seperti Lembah Silikon di AS dan Shenzhen di China.
“Langkah ini juga memberi peluang kepada syarikat tempatan untuk mempelajari serta menyesuaikan diri dengan ekosistem AI di kedua-dua negara tersebut,” katanya.
Saifuddin menegaskan, Malaysia kini menikmati manfaat terbaik daripada kedua-dua dunia hasil dasar yang neutral dan terbuka.
“Inilah kelebihan yang kita peroleh apabila tidak berpihak, sebaliknya bersikap inklusif dan pragmatik dalam membina kerjasama global,” katanya.-BH Online