Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan menamatkan kawalan harga dan subsidi ayam, antara lain bagi memastikan penjimatan diperoleh dapat disalurkan semula kepada sektor ternakan secara lebih berfokus dan strategik, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata langkah itu termasuk usaha membuka semula reban ayam yang ditinggalkan, menaik taraf kepada sistem reban ayam tertutup serta menyediakan kemudahan pembiayaan kepada penternak bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran ayam negara secara mampan dan berdaya saing.

Mohamad bagaimanapun berkata masyarakat perlu sedar bahawa tidak semua dasar dan keputusan kerajaan akan memberikan impak serta-merta termasuk berhubung penamatan kawalan harga dan subsidi ayam sejak 1 Nov 2023.

“Ada inisiatif mengambil masa untuk menunjukkan hasil dan ada juga yang memerlukan beberapa tahun sebelum kesannya benar-benar dirasai oleh rakyat dan negara.

“Apa yang lebih penting ialah hala tuju jelas dan pelaksanaan yang konsisten,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata rakyat perlu bersikap adil dan terbuka dalam menilai setiap dasar yang diperkenalkan kerajaan kerana tiada mana-mana kerajaan yang waras mahu menyusahkan rakyat apatah lagi menghancurkan negara sendiri.

“Setiap langkah yang diambil adalah berdasarkan kajian, libat urus dan pertimbangan menyeluruh demi memastikan kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat secara berterusan,” katanya.

Pada 1 Nov 2023, Mohamad ketika mengumumkan penamatan kawalan harga dan subsidi ayam dilaporkan berkata rasional penamatan subsidi secara pukal bagi ayam adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.

Beliau berkata penamatan subsidi dan kawalan harga ayam membolehkan kerajaan meningkatkan pelbagai inisiatif sosioekonomi dan kebajikan rakyat termasuk bantuan wang tunai.– BERNAMA