Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab strategik pelaburan bagi rantau ASEAN apabila mengetuai beberapa pertemuan penting sempena Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China 2025, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beberapa sesi pertemuan strategik dilakukan bagi menunjukkan komitmen Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dalam usaha memperkukuh diplomasi ekonomi yang inklusif, berpandangan jauh dan berteraskan kepentingan rakyat.

Justeru, katanya, pertemuan dua hala dilakukan bersama delegasi China membabitkan Guangzhou Industrial Holdings Group (GIIHG) dan China Council for the Promotion of International Trade (CCPIT), selain perbincangan bersama pelabur dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) termasuk Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) serta Dewan Perniagaan dan Industri Qatar.

“Fokus utama perbincangan adalah kepada sektor strategik seperti logistik, pembangunan halal, teknologi kecerdasan buatan (AI), automotif dan tenaga hijau.

“Saya turut mempengerusikan sesi libat urus antara delegasi kerajaan dan komuniti perniagaan dari Arab Saudi dan China yang membincangkan potensi peluasan pelaburan dua hala dengan Malaysia dilihat sebagai pintu masuk utama ke pasaran ASEAN.

“Secara tidak langsung, inisiatif ini memperkukuh lagi peranan Malaysia sebagai pemudah cara utama dalam menghubungkan ekonomi ASEAN, GCC dan China secara lebih holistik dan bersasar,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pembabitan sesi libat urus itu sekali gus membuktikan keyakinan tinggi pelabur antarabangsa terhadap ASEAN yang mempunyai lebih 680 juta penduduk dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) gabungan melebihi AS$3.6 trilion (RM15.26 trilion).

“Ia menjadikan rantau ini sebagai antara satu pasaran yang paling pesat berkembang dan paling strategik di dunia.

“Malaysia bukan saja tampil sebagai tuan rumah tetapi juga sebagai pemimpin serantau yang bersedia menjadi pintu masuk utama bagi syarikat-syarikat China dan GCC untuk menembusi pasaran ASEAN. 

“Kita menawarkan persekitaran pelaburan yang stabil, dasar kerajaan yang mesra pelabur serta visi ekonomi yang jelas, progresif dan mampan,” katanya.

Beliau juga berkata, hubungan erat yang terus dibina melalui sidang ini akan menjadi pemangkin kepada penciptaan peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi bernilai tinggi serta peluasan rangkaian perdagangan serantau dan global.

“Saya yakin hasil kerjasama dan kesepakatan yang terjalin ini akan menyumbang secara langsung kepada masa depan ekonomi Malaysia yang lebih dinamik dan mampan serta memperkukuh kedudukan negara sebagai hab strategik utama ASEAN,” katanya.-BH Online