Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) secara rasminya memulakan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), sekali gus melakar pencapaian penting dalam usaha memperdalam hubungan ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua pihak.

GCC merangkumi enam negara anggota iaitu Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata Malaysia menganggap GCC sebagai antara rakan dagang yang paling bermakna di Asia Barat.

“FTA Malaysia-GCC ini bukan sekadar pengaturan perdagangan, malah mewakili satu platform strategik untuk penjajaran semula dan meningkatkan hubungan dua hala bersama.

“Dalam dunia yang sarat dengan pelbagai ketidaktentuan, ini menjadi peluang yang tepat pada masanya untuk mengukuhkan kerjasama ke arah kemakmuran dan keterangkuman bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

FTA itu dijangka merangkumi pelbagai bidang, termasuk perdagangan barangan dan perkhidmatan, pelaburan, memudah cara perdagangan serta kerjasama ekonomi secara lebih meluas.

Pada 2024, jumlah perdagangan antara Malaysia dan GCC mencecah AS$22.3 bilion (RM101.8 bilion) dengan eksport utamanya termasuk produk elektrik dan elektronik, barangan kemas, produk petroleum, minyak sawit dan produk berasaskannya serta makanan diproses.

Berasaskan kepentingan itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, FTA itu bertujuan mengembangkan lagi usaha berkaitan dengan mengurangkan halangan tarif dan bukan tarif, menggalakkan mobiliti perniagaan dan meningkatkan lagi kerjasama pengawalseliaan.

Malaysia dan GCC juga telah menyuarakan visi bersama agar perjanjian itu dapat menangani cabaran perdagangan global masa kini dan menggalakkan pertumbuhan yang berdaya tahan, terangkum serta dipacu oleh inovasi.

“Pelancaran rundingan Malaysia-GCC ini hanya mengukuhkan lagi komitmen Malaysia untuk meningkatkan hubungan dagangan dengan blok serantau yang progresif seperti GCC.

“Malaysia optimis terhadap satu proses rundingan konstruktif yang akan menghasilkan manfaat penting kepada ekonomi dan rakyat kedua belah pihak,” katanya.

Dalam pada itu, kenyataan bersama berhubung pelancaran rundingan itu telah ditandatangani oleh Tengku Zafrul dan Setiausaha Agung GCC, Jasem Mohamed Albudaiwi.

Acara yang berlangsung di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini, turut mengetengahkan kepentingan strategik inisiatif berkenaan.

Pertukaran kenyataan bersama itu telah disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah.-BERNAMA