KUALA LUMPUR: Projek infrastruktur fizikal dan kesalinghubungan bernilai AS$39 bilion (RM164.3 bilion) yang merentasi Malaysia, Thailand dan Indonesia menjadi pemangkin utama memperkukuh kerjasama sub-wilayah dalam menghadapi cabaran global serta memacu transformasi ekonomi serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata transformasi itu meliputi pelbagai bidang tumpuan termasuk kesalinghubungan rentas sempadan, pelancongan, industri halal, agro-industri serta pengukuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh sub-wilayah berkenaan.
“Malaysia amat menghargai kerjasama Thailand, khususnya Perdana Menterinya (Paetongtarn Shinawatra) yang begitu proaktif meluluskan beberapa projek penting di kawasan sempadan seperti di Rantau Panjang dan jambatan ke Sungai Golok.
“Perkembangan ini berjalan lancar dan dijangka memberi impak positif kepada pembangunan di kawasan sempadan bersama,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Pertumbuhan Segitiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) Ke-16 sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Anwar berkata, selain aspek pembangunan fizikal, kerjasama IMT-GT turut memberi perhatian terhadap isu perubahan iklim yang semakin memberi kesan besar kepada kehidupan dan sumber pendapatan rakyat di rantau ini.
Pada sesi sama, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada barisan menteri berkaitan yang memainkan peranan penting dalam merangka dan menyelaras perincian agenda persidangan IMT-GT.
Beliau turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Masato Kanda atas pelantikannya sebagai Presiden Bank Pembangunan Asia (ADB), sambil menyambut baik komitmen beliau dalam memperkukuh sokongan terhadap pembangunan rantau ini.
“Sebagai penutup, para pemimpin bersetuju untuk meneruskan penerimaan dan pelaksanaan agenda yang telah dibentangkan,” kata Anwar.
Sidang itu turut menyaksikan pembentangan oleh Rafizi, selaku Pengerusi Menteri-Menteri Penandatangan IMT-GT, mengenai usaha memperkukuh kerjasama sub-wilayah bagi menangani cabaran global secara kolektif dan bersepadu.-BH Online