Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sistem multilateralisme harus dipertahankan dengan memastikan model geoekonomi ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)- China terus memainkan peranan lebih bermakna.

Perdana Menteri berkata, perkara itu amat penting dalam membentuk masa depan yang lebih inklusif serta mampan bagi mendepani cabaran global secara kolektif.


“Dalam hal ini, kita berjaya mengadakan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang pertama, menunjukkan niat baik kita dan membolehkan kita memperluaskan kerjasama serta bertindak dengan strategik lebih jelas.

“Saya percaya bahawa sidang kemuncak trilateral ini mencerminkan kejayaan dalam membentuk semula kerjasama yang selari dengan realiti masa kini,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan Sesi Plenari Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di sini, hari ini.

Anwar berkata, model geoekonomi ASEAN-GCC-China memainkan peranan penting dalam memperkukuh rangkaian kerjasama strategik antara tiga wilayah utama dunia, sekali gus memberi impak positif kepada kestabilan dan pertumbuhan global.

Jelasnya, ia melambangkan kekuatan perpaduan blok serantau yang sudah pasti akan memberi impak positif kepada dunia secara keseluruhan.

Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang diajdual berlangsung esok dijangka merangka strategi baharu dalam perdagangan, pembangunan infrastruktur mampan serta digitalisasi rantau.

Sidang kemuncak trilateral yang pertama kali diperkenalkan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN turut bertujuan memperkukuh kerjasama ekonomi tiga hala antara ASEAN, GCC dan China.

ASEAN kini adalah ekonomi kelima terbesar dunia dengan jumlah KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) AS$3.8 trilion (RM15.98 trilion), manakala China kekal sebagai rakan dagang terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan dua hala berjumlah AS$696.7 bilion (RM2.9 trilion).

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berlangsung dua hari bermula hari ini di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.-BH Online