KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kepada semua wakil rakyat di negara anggota ASEAN untuk sentiasa mengambil kira suara rakyat sebelum membuat sebarang keputusan terhadap masa depan rantau itu.
Gesaan itu disuarakan Perdana Menteri melalui ucapan pembukaan pada Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN ke-14 (ASEAN-AIPA Interface) di sini hari ini.
Perdana Menteri, berkata, ketika ASEAN melangkah ke fasa baharu dalam usaha pembinaan komuniti, AIPA boleh menjadi rakan penting dalam merealisasikan aspirasi rakyat.
“Suara rakyat yang disuarakan melalui wakil rakyat pilihan mereka mesti diambil kira dalam setiap keputusan yang membentuk rantau kita,” katanya.
ASEAN-AIPA Interface berlangsung hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, bakal menjadi platform khas untuk dialog antara ketua negara dan kerajaan ASEAN serta speaker, timbalan speaker serta wakil ahli Parlimen AIPA.
ASEAN-AIPA Interface dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan membawa tema‘Parliament at the Forefront for Inclusive Growth and a Sustainable ASEAN’ (Parlimen di Barisan Hadapan bagi Pertumbuhan Inklusif dan ASEAN yang Mampan).
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, adalah Presiden AIPA.
Hadir sama Presiden Republik Demokratik Timor-Leste, Dr José Ramos-Horta dan wakil AIPA.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, AIPA juga boleh menjadi rakan penting dalam memacu kemajuan merentasi tiga tonggak utama dan mengukuhkan kesiapsiagaan serta daya tahan ASEAN.
Beliau turut menggalakkan komitmen berterusan AIPA dalam bidang keselamatan makanan, perubahan iklim, transformasi digital dan pembangunan ekonomi yang inklusif, antara lain.
“Peluang untuk meneliti tema ‘Parlimen di Barisan Hadapan bagi Pertumbuhan Inklusif dan ASEAN yang Mampan’ amat bertepatan dengan masanya,” katanya.-BH Online