KUALA LUMPUR: Permuafakatan dicapai melalui deklarasi bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam menyelesaikan isu Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) menunjukkan Kerajaan MADANI sedia untuk melaksanakan pengagihan yang adil dan saksama kepada semua negeri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata walaupun ada pihak yang memberikan kritikan, namun ia tidak memberikan kesan langsung mengambil kira hasrat ingin dicapai kerajaan adalah memperkukuh kekuatan bersama termasuk dalam kalangan negeri dikuasai pembangkang.
“Saya tahu dalam keadaan ini ramai yang curiga seolah kita serahkan kuasa (dalam isu PETRONAS-PETROS), ada juga di pihak Sarawak kesal kerana tuntutan mereka tak dipenuhi sepenuhnya.
“Tapi di pihak kerajaan, inilah yang kita (ingin capai), melalui perbincangan, muafakat dan mencari kejernihan. Ini termasuk melalui perjanjian MA63, walaupun saya dikritik beberapa Ahli Parlimen pembangkang, tentunya (mereka) tak memahami sejarah dan kenyataan, mengapa peruntukan di Sabah dan Sarawak ditambah.
“Ini melihat kepada keperluan semasa (di Sabah dan Sarawak). Selain dari Kuching dan Kota Kinabalu, ada daerah di sana yang masih ketinggalan 10 atau 20 tahun berbanding di Semenanjung, jadi kerana itu kita harus berani merangkul kekuatan bersama (dalam menyelesaikannya),” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sekali gus merasmikan Kongres Nasional PKR 2024/2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, malam semalam.
Anwar turut berkata, keadilan yang ditonjolkan Kerajaan MADANI bukan hanya tertumpu di negeri tertentu, sebaliknya turut melangkaui semua negeri pembangkang.
“Ya, ini termasuk umpamanya di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Dulu heboh kata kita (kerajaan) nafikan hak mereka, riuh kata diskriminasi, tapi sekarng bila anjur Program MADANI Rakyat saya sendiri katakan di hadapan Menteri Besar Kelantan…utarakan angka dan data.
“Kenapa kita bagi peruntukan lebih kepada Kelantan kerana ia paling parah dalam hadapi masalah banjir,” katanya.-BH Online