Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Isu pemegang ijazah di negara ini menerima gaji bulanan di bawah RM3,000 atau ‘cukup-cukup makan’ berkait rapat dengan struktur dan pola ekonomi di negara ini.

Jika peningkatan nilai ekonomi negara, graduan berpeluang memperoleh kerjaya dengan gaji berpatutan dan sesuai dengan kelulusan mereka.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata keadaan pola ekonomi dalam tempoh masa 20 hingga 30 tahun ini menyebabkan masyarakat terperangkap dalam keadaan ‘middle income trap’.

“Antara paradoksnya, setiap tahun kita ada 300,000 graduan lulusan universiti setahun, campur lagi 100,000 lulusan TVET, menjadikan jumlah 400,000 lulusan anak Malaysia yang berkelulusan tinggi.

“Setiap tahun juga, ekonomi kita hanya mampu menjana 50,000 pekerjaan bernilai tinggi dan berkemahiran tinggi.

“Ada jurang dan kelompangan, sebab itu kita panggil paradoks. Jadi, apa yang kita lakukan, kita harus menaikkan nilai ekonomi kita supaya syarikat di Malaysia ini mampu menjana lebih banyak lagi pekerjaan bernilai tinggi,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2025 Peringkat Zon Tengah, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar ini mengenai lebih 65 peratus pemegang ijazah di negara ini memperoleh gaji bulanan di bawah RM3,000, sekali gus memperoleh pendapatan ‘cukup-cukup makan’ tanpa ruang untuk menyimpan, melabur, atau meningkatkan mobiliti sosial mereka.

Selain itu, lebih 70 peratus siswazah di negara ini didapati terpaksa bekerja dalam sektor separa mahir dan tidak mahir.null

Dapatan itu diperoleh melalui kajian dijalankan oleh Malaysia Labour Market Insight Series bertajuk The ‘Gaji Cukup Makan’ Economy: When Higher Education Becomes an Economic Risk.

Steven berkata antara usaha yang dilakukan ialah menerbitkan satu garis panduan gaji progresif.

“Panduan gaji ini tidak dipaksa tetapi kita menggalakkan majikan menggunapakai, contohnya seorang jurutera, kalau permulaan berapa gaji yang harus diberikan.

“Kita terbitkan panduan gaji kali pertama, ini membolehkan pasaran ada kesedaran bahawa ini gaji yang lebih baik dan pasaran harus ada rundingan,” katanya.-BH Online