Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Perdana Menteri menyifatkan tiada calon yang berani dan layak untuk menggantikan tempat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SRPM), Tan Sri Azam Baki, buat masa ini. 

Disebabkan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memutuskan untuk menyambung semula kontrak bagi jawatan berkenaan. 

Anwar berkata, sepanjang menerajui suruhanjaya itu, Azam dengan beraninya menggeledah kuasa besar termasuk orang kenamaan dan tauke yang menyalahgunakan kuasa mereka di negara ini. 

“Melihat perkembangan SPRM sejak puluhan tahun lalu, ini lah kali pertama suruhanjaya itu berani menggeledah tauke besar.

“Inilah kenyataannya, kalau nak suruh ganti, saya boleh bincang (dengan kepimpinan) dan esok juga kita akan ganti. 

“Tapi saya tak yakin yang baharu itu berani menggeledah tauke, orang kaya, keluarga kenamaan termasuk , Tan Sri, Tun dan sebagainya. 

“Bagi saya, berilah ruang sekejap kepada orang yang diamanahkan itu ambil pendekatan yang berani. Tak ada sebab untuk kita curigainya (Azam), sebab saya tidak pernah melihat (keberanian) itu sebelumnya,” katanya ketika ucapan Dasar Presiden KEADILAN sempena Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2024/2025, malam ini. 

Sebelum ini, Azam, 62, sudah dua kali dilantik semula bagi memegang jawatan itu masing-masing selama setahun iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024 dan dari 12 Mei 2024 hingga 12 Mei lalu.

Beliau dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Koya yang mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.

Berikutan lanjutan kontrak berkuat kuasa pada 13 Mei lalu itu, pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Naib Presiden PKR ketika itu, Nurul Izzah Anwar mempersoalkan kerajaan melanjutkan kontrak Azam setahun lagi sehingga 12 Mei 2026. 

Pengerusi Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) Edmund Terence Gomez turut menekankan dakwaan pada 2021 mengenai konflik kepentingan Azam dalam dakwaan pemilikan saham syarikat korporat.

Pada Januari 2022, Lembaga Penasihat Anti-Rasuah membersihkan Azam daripada sebarang salah laku berkait pembelian saham korporat selepas Azam menjelaskan akaun sahamnya digunakan adiknya, Nasir, untuk membeli saham yang beliau (Azam) tidak mempunyai kepentingan kewangan.-MyMetro Online