PUTRAJAYA: Kerajaan disaran menggubal satu akta bagi menyelaras dan memperkasakan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu adalah antara cadangan dikemukakan pada Sesi Permukiman Selepas Setahun Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024.
Beliau berkata, penggubalan akta berkenaan akan membolehkan koordinasi kesemua 12 kementerian yang terbabit dalam pelaksanaan ekosistem pendidikan TVET negara.
“Akta ini dicadangkan agar TVET menjadi ekosistem pendidikan baharu negara,” katanya pada sidang media sejurus tamat permukiman itu, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, permukiman itu turut merumuskan cadangan agar Majlis TVET Negara dinaik taraf sebagai suruhanjaya bagi memantapkan penyelarasan ekosistem TVET.
“Suruhanjaya ini bukan satu entiti baharu yang memerlukan tambahan penjawat awam atau peruntukan besar. Ia akan bertindak menyelaras serta mengoptimumkan fungsi sedia ada secara lebih berfokus,” katanya.
Majlis TVET Negara ditubuhkan pada 2021 bagi menambah baik penyelarasan ekosistem TVET negara dalam usaha memastikan kemajuan bidang itu yang diangkat sebagai agenda nasional.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata, Ketua Kluster Reformasi dan Modal Insan KEB, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, dilantik menerajui inisiatif penubuhan Pusat Data serta Dashboard Ekonomi Bumiputera.
“Ini akan diletakkan bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan kerjasama Kementerian Ekonomi melalui Unit Peneraju Agenda Bumiputera,” katanya.
Ditanya mengenai inisiatif kerajaan untuk memastikan bidang TVET menyediakan gaji bermaruah buat graduan pula, Ahmad Zahid berkata, kerajaan konsisten dalam memperjuangkan gaji premium kepada lepasan bidang berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan mengadakan libat urus dengan industri untuk memastikan lepasan TVET dibayar gaji premium antara RM3,500 hingga RM5,000, terutama kepada pemegang Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 hingga 5.
“Kita memperjuangkan gaji premium untuk lepasan TVET… kita tidak mewajibkan (syarikat bayar gaji premium) tetapi kita melakukan libat urus dengan industri untuk menggalakkan mereka (berbuat demikian).
“Kita bukan hanya mempunyai memorandum persefahaman, malah memorandum perjanjian dengan (pihak) industri,” katanya.
Ahmad Zahid mengulas kajian Malaysia Labour Market Insight Series bahawa lebih 65 peratus pemegang ijazah di negara ini memperoleh gaji bulanan bawah RM3,000 yang ‘cukup-cukup makan’ tanpa ruang untuk menyimpan, melabur atau meningkatkan mobiliti sosial mereka.-BH Online