Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan pada akhir Mac 2025 berkurangan kepada RM21.9 bilion, berbanding RM26.4 bilion pada akhir Mac 2024, didorong oleh kutipan hasil yang lebih tinggi dan pengoptimuman perbelanjaan sejajar dengan inisiatif konsolidasi fiskal.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini berkata, hasil Kerajaan Persekutuan meningkat sebanyak tiga peratus berbanding suku yang sama tahun 2024 kepada RM72.1 bilion, didorong oleh kutipan cukai yang lebih tinggi, terutamanya daripada peningkatan hasil Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta kutipan cukai pendapatan individu.

Menurutnya, jumlah perbelanjaan menurun sebanyak 2.5 peratus kepada RM94.2 bilion, terutamanya disebabkan pengurangan perbelanjaan subsidi berikutan pelaksanaan program penyasaran subsidi diesel dan harga minyak global yang lebih rendah.

“Namun begitu, program bantuan sosial bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Insentif Pendaratan Ikan dan Skim Subsidi Harga Padi terus diperkukuh.

“Di samping itu, peruntukan kepada badan berkanun turut dioptimumkan hasil keberkesanan dan kecekapan operasi agensi berkaitan,” katanya.

Kementerian Kewangan hari ini menerbitkan Laporan Ekonomi Malaysia bagi Suku Pertama 2025. 

Diterbitkan setiap suku tahun, laporan ini menyediakan gambaran menyeluruh mengenai prestasi makroekonomi negara dan kedudukan fiskal semasa, selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti pengurusan kewangan awam.

Beberapa pencapaian utama sepanjang suku pertama 2025 mencerminkan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kemampanan fiskal negara.

Antara lain, Kementerian Kewangan berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar Malaysia berkembang sebanyak 4.4 peratus, mengatasi kadar pertumbuhan 4.2 peratus yang dicatatkan dalam suku yang sama tahun lalu, didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan serta pemulihan berterusan dalam sektor-sektor utama seperti perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.-BH Online