Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Penguasaan bahasa kebangsaan tidak boleh diremehkan meskipun negara kini sedang mengejar perubahan dan kemajuan teknologi. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ini kerana sebuah negara maju perlu mengutamakan aspek ekonomi, bahasa kebangsaan, seni dan budaya. 

Katanya, menjadi kesalahan besar sekiranya Kerajaan Madani hanya mengejar perubahan dan pembangunan semata-mata tanpa memberi keutamaan pada isu bahasa. 

“Dalam Kerajaan Madani sementara kita berhempas, bersaing untuk dapatkan yang sebaiknya dari aspek kewangan, tidak harus meninggalkan satu ciri aspek dalam pembangunan negara yang sangat penting iaitu penguasaan bahasa yang baik dan menghargai memartabatkan karya besar ilmu, sama ada dalam bidang sastera, ekonomi, kewangan serta digital.

“Adalah satu kesilapan besar jika kita mengejar perubahan dan pembangunan dengan mengandaikan aspek ini boleh diremehkan kerana tidak ada negara hebat meninggalkan ini (penguasaan bahasa),” katanya ketika merasmikan Majlis Hadiah Bahasa Public Bank-Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2025, hari ini. 

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Ka Woh; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr Tay Ah Lek serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Datuk Sulaiman Abdul Manap.

Anwar berkata, kebanyakan rakyat di negara besar seperti China turut memperkasakan bahasa dan karya klasik mereka.

“Ketika saya di China tempoh hari, saya cuba menghafal karya klasik mereka, namun agak susah. Jadi saya bertanyakan kepada pegawai Aide De Camp (ADC) dari China sama ada beliau tahu mengenai karya itu dan ternyata dia tahu dan mengajar saya sepanjang perjalanan untuk ke sebuah universiti di sana.

“Ketika pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping, saya bertanyakan mengenai rakyat yang sangat menguasai bahasa dan karya klasik dalam bahasa Cina.

“Beliau menyatakan, itu kerana beliau mahu anak di negara itu mengekalkan identiti tanpa terjebak atau terpukau dengan karya asing, seterusnya mempengaruhi sikap dan jiwa anak muda,” katanya. 

Sehubungan itu, Anwar berkata, beliau sering mengingatkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak mengetepikan aspek kepentingan bahasa kebangsaan meskipun diasak pihak tertentu untuk menguasai bahasa lain dalam pendidikan. 

“Walaupun mereka (KPM dan KPT) dicabar, diasak bawa perubahan (terhadap) penguasaan bahasa, hal yang baharu, (tetapi) kita jangan meninggalkan aspek yang sangat utama, jati diri, maruah kita, nilai hidup kita. 

“Sebab itu saya selalu sebut kita harus menggapai di langit, (iaitu) teknologi dan pelbagai istilah baharu dalam digital, tetapi jangan lupa harus mengakar ke bumi soal akhlak dan budaya,” katanya.-BH Online