Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw negara yang berjaya meraih dua pingat emas di Piala Asia 2025, baru-baru ini bakal menerima bonus sebagai insentif kemenangan daripada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan, berkata pihaknya sudah pun menyediakan imbuhan khas sebagai penghargaan kepada pemain yang berjaya mengharumkan nama negara tetapi ia bergantung kepada ‘kantung’ badan induk itu.

“Kita memang ada sediakan imbuhan sedikit tetapi mengikut apa yang termampu. PSM janji nak bagi dan itu janji saya kepada pemain,” kata Sumali selepas majlis pelancaran Liga Sepak Takraw (STL) 2025, hari ini.

Sumali turut memaklumkan permohonan rasmi akan dikemukakan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) bagi mempertimbangkan imbuhan tambahan kepada pemain, khususnya pemenang pingat emas dan perak.

“Saya akan membuat permohonan rasmi kepada KBS dan juga MSN untuk melihat sama ada imbuhan boleh diberi kepada pemain, terutama yang mendapat pingat emas.

“Jika dapat yang pingat perak pun kita bersyukur. Namun, kita tidak boleh umum berapa nilainya kerana PSM bukan ada banyak duit. Kami akan beri mengikut kemampuan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tidak menolak kemungkinan pemain skuad sepak takraw negara akan menerima imbuhan kerajaan, meskipun kejohanan Piala Asia tidak tersenarai dalam Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

“Saya akan bertanya dengan MSN, tetapi buat masa ini memang tak ada kerana Piala Asia tidak disenaraikan dan apa yang ada adalah Kejohanan Asia.

“Tetapi kita sedang pertimbangkan dan kalau ada permohonan daripada persatuan sukan, MSN akan lihat dan akan pertimbangkan,” katanya.

Untuk rekod, skuad sepak takraw negara berjaya mara ke final dalam keempat-empat acara yang disertai di Piala Asia 2025 dan memenangi dua pingat emas menerusi acara kuadran dan regu.

Terdahulu, skuad boling negara yang cemerlang di Kejohanan Piala Dunia IBF di Hong Kong menerima insentif khas berjumlah RM90,000 sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian mereka walaupun Piala Dunia IBF tidak disenaraikan dalam SHAKAM.-BH Online